ZULKFLEY Hamid, 55, (berbaju merah) berada di samping dua anaknya iaitu Farisha Yuzlizan Zulkfley, 22, (kanan) yang bantu menjaga anak bongsunya, Muhammad Faris Yusrizal Zulkfley, 19, yang terlantar koma sejak lima bulan lalu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
ZULKFLEY Hamid, 55, (berbaju merah) berada di samping dua anaknya iaitu Farisha Yuzlizan Zulkfley, 22, (kanan) yang bantu menjaga anak bongsunya, Muhammad Faris Yusrizal Zulkfley, 19, yang terlantar koma sejak lima bulan lalu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


KASIH sayang tiga beradik jelas terserlah apabila sanggup menjaga adik mereka yang koma sejak lebih lima bulan lalu selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya hingga seorang daripada mereka sanggup menolak tawaran kerja.

Farisha Yuzlizan Zulkfley, 22, bersama kakaknya, Farisha Yazren, 23, setiap hari menguruskan adik bongsu mereka, Muhammad Faris Yusrizal Zulkfley, 19, yang kini terlantar tidak sedarkan diri selepas tempurung kepalanya terpaksa dikeluarkan kesan daripada kemalangan itu.

Farisha Yuzlizan berkata, kemalangan menimpa adiknya berlaku pada Februari lalu yang menyebabkannya terpaksa menjalani lima pembedahan untuk membuang tempurung kepala di bahagian kiri serta kanan, darah beku serta cecair di kepala adiknya itu.

Menurutnya, bagi menguruskan Faris secara giliran dengan kakak serta ibu bapanya, dia menolak tawaran untuk bekerja semula di kilang tempatnya bekerja sebelum ini sebagai operator kilang iaitu selepas kontraknya ditamatkan susulan impak dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Baru-baru ini, pihak kilang ada menghubungi saya menawarkan semula jawatan sebelum ini tetapi saya tolak tawaran itu untuk bantu kakak (Farisha Yazren) serta ibu dan ayah menguruskan adik yang memerlukan penjagaan rapi setiap waktu termasuk mengorbankan waktu tidur.

"Kakak tidak bekerja disebabkan menghidap penyakit berkaitan saraf justeru perlu bergantung kepada ubatan yang dibeli khususnya bagi mengawal sel darah putih berlebihan, selain mengakibatkan buah pinggangnya lemah lalu mempengaruhi aktiviti rutin seperti berdiri lama," katanya.

Menurutnya, pendapatan bersih ayahnya, ZulKfley Hamid, 55, sebagai operator kilang sebanyak RM1,200 sebulan di samping ibu tidak bekerja sememangnya dugaan berat buat mereka tetapi bersyukur ramai juga pihak persendirian tampil membantu bagi mencukupkan keperluan Faris.

"Keperluan itu termasuk wang ringgit, susu khas lebih RM80 setin yang bertahan sehingga tiga hari, mesin penyedut kahak, katil boleh laras, lampin pakai buang, tiub saluran kencing, dan sebagainya," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Jerlun, Kuala Kangsar hari ini.

Kata anak kedua dari tiga beradik itu, mereka sekeluarga terkilan dengan tindakan pengurusan kolej tempat Farisha Yazren menuntut sebelum ini yang masih 'menahan' skrol diploma kakaknya itu sejak dua tahu lalu disebabkan tidak mampu menjelaskan tunggakan yuran.

"Pinjaman pelajaran yang diluluskan adalah RM20,000 berbanding kos keseluruhan kursus berkenaan iaitu RM24,000.

"Kakak sempat habiskan pengajian namun skrol dan transkrip diplomanya sahaja yang masih 'ditahan' oleh pihak kolej selagi tunggakan RM4,000 tidak dilangsaikan," katanya.

Sementara itu, Zulkfley berkata, dia bersyukur memandangkan hampir keseluruhan kos membiayai pembedahan Faris ditampung oleh subsidi kerajaan selain unit kebajikan sosial hospital yang turut berusaha mendapatkan biaya untuk pembedahan susulan dijangka pada Februari tahun depan.

Katanya, pembedahan susulan iaitu bagi memasukkan tempurung kepala tiruan dianggarkan membabitkan kos lebih RM12,000 justeru membuatkannya resah sekiranya sumbangan yang dikutip tidak mencukupi.

"Walaupun kerajaan menanggung kos pembedahan, namun perkakasan atau bahan yang akan dimasukkan ke dalam tubuh anak saya perlu ditanggung sendiri termasuk RM12,000 kos tempurung kepala tiruan diperbuat daripada platinum selain lapan skru berharga RM220 seunit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 3:59 PM