Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) ketika meninjau kawasan tapak haram pembuangan sisa toksik dan bahan berjadual berbahaya di Jalan Sijangkang Utama, Johan Setia, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) ketika meninjau kawasan tapak haram pembuangan sisa toksik dan bahan berjadual berbahaya di Jalan Sijangkang Utama, Johan Setia, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain


KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) akan membina Kemudahan Rawatan Sisa Buangan Bersepadu di lima negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Johor dan Sabah.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembinaan itu bagi memastikan semua sisa buangan terjadual dapat diuruskan dengan lebih cermat dan teratur.

"Kementerian bersetuju mendirikan lima buah 'Integrated Waste Facilities' iaitu di Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Johor dan Sabah.

"Sebenarnya proses sudah pun bermula terutamanya mengenalpasti lokasi dan tapak (di setiap negeri terbabit)..proses ini mengambil masa," katanya dalam sidang media di tapak haram pembuangan sisa toksik dan bahan terjadual di Jalan Sijangkang Utama, Johan Setia di Klang, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Zaini Ujang; Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata KASA tidak ada perancangan untuk membinanya di Selangor.

"Di Selangor, kemudahan itu sudah ada (Pusat Pengurusan Sisa Berjadual Kualiti Alam di Bukit Nanas, Negeri Sembilan) dan tidak jauh dari sini.

"Tidak perlu dibina satu setiap negeri, sebaliknya perlu memanfaatkan apa yang ada, sebab kalau kita bina dengan kos besar, manfaat tidak diambil sepenuhnya, kita rugi.

"Jadi kira hendak tengok semua pusat ini dimanfaatkan semaksimum mungkin," katanya.

Malah katanya, ketiadaan pusat pengurusan itu di Selangor tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh pihak terbabit membuang sisa toksik dan bahan terjadual sesuka hati.

"Tapak pelupusan sudah ada, semua agen tahu mengenai tapak pelupusan itu, cuma mereka ini ambil jalan mudah iaitu buang di mana-mana walaupun sudah ada kemudahan itu.

"Itu bukan isunya. Pusat banyak mana pun, jika sikap tak ubah ia tetap sama sahaja. Oleh itu, kita tekankan undang-undang sangat penting, kemudahan kita boleh sedia tetapi kepatuhan kepada undang-undang mesti dilaksanakan," katanya.

Berita berkaitan

Lebih 1,000 tong, beg sisa toksik ditemui [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 4:01 PM