KERETA milik Nor Fadzilah yang dipijak lelaki dipercayai kurang siuman ketika berhenti di Persimpangan lampu isyarat di Taman Nusantara. FOTO Ihsan Nor Fadzilah
KERETA milik Nor Fadzilah yang dipijak lelaki dipercayai kurang siuman ketika berhenti di Persimpangan lampu isyarat di Taman Nusantara. FOTO Ihsan Nor Fadzilah
Omar Ahmad

"SAYA terkejut apabila seorang lelaki tiba-tiba melompat di atas bonet kereta menyebabkan ia kemek," kata Nor Fadzilah Md Ehwan, 31.

Nor Fadzilah berkata, ketika kejadian dia sedang berhenti di lampu isyarat merah di simpang tiga di Taman Nusantara di Iskandar Puteri, untuk ke tempat kerjanya.

Katanya, lelaki yang dipercayai kurang siuman itu pada mulanya menumbuk dan memukul dua kereta di hadapannya sebelum melompat serta memijak bonet Perodua Axia dipandunya.

"Ketika berhenti di lampu isyarat, saya nampak lelaki terbabit tumbuk dan pukul dua kereta di depan.

"Tiba-tiba, dia terus melompat dan memijak bonet depan kereta saya hingga kemek. Kemudian lelaki itu turun dan tumbuk cermin sisi pula," katanya dihubungi.

Menurut Nor Fadzilah, lelaki itu sering kelihatan di persimpangan lampu isyarat itu.

"Alhamdulillah, saya selamat namun agak sedih kerana kereta ini tidak sampai setahun saya gunakan. Laporan juga dibuat di Balai Polis Gelang Patah," katanya.

Terdahulu, beberapa keping gambar bonet sebuah kereta yang kemek dimuat naik suami Nor Fadzilah tular di media sosial.

Rata-rata netizen mendakwa lelaki terbabit sering kelihatan di lampu isyarat di kawasan itu.

Malah lelaki terbabit juga dikatakan pernah membaling batu serta menjerit-jerit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 5:03 PM