X
ANTARA penagih dadah yang ditahan. FOTO Ihsan AADK
ANTARA penagih dadah yang ditahan. FOTO Ihsan AADK
Nor Farhani Che Ad


TERDESAK mahu mengelak daripada ditahan, seorang lelaki membaling kayu pada sekumpulan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sehingga menyebabkan seorang daripadanya cedera.

Bagaimanapun, lelaki berusia 36 tahun itu berjaya ditahan dalam serbuan yang diadakan itu di Kampung Rusa di Sungai Petani, semalam.

Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, anggota terbabit luka di tangan dan sudah diberikan rawatan.

"Ketika ditahan lelaki berkenaan bertindak agresif dan cuba meloloskan diri, sebelum ditahan 50 meter dari rumahnya.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif methamphetamine dan morfin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Arnida berkata, lelaki itu antara 11 lelaki yang ditahan dalam operasi yang diadakan bermula 9 pagi sehingga 8 malam.

Beliau berkata, sebanyak 14 lokasi digempurkan antaranya Taman Ria Jaya, Flat Paya Nahu, Kilang Makau, Kampung Masjid Tikam Batu, Taman Kempas, Taman Desa Aman Bedong dan Bandar Puteri Jaya.

Katanya, semua yang ditahan berusia di antara 16 hingga 37 tahun.

"Enam daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan morfin, empat positif dadah morfn manakala seorang positif ganja.

"Kesemua mereka di siasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 10:28 AM