MOHD ZAIDI RAMLI
MOHD ZAIDI RAMLI
Mohd Amin Jalil


SEREMBAN: Umat Islam yang mendaftar nama untuk menunaikan solat Jumaat dan solat fardu di mana-mana masjid dan surau di negeri ini diminta memberikan nama atau maklumat sebenar.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Mohd Zaidi Ramli berkata, mereka perlu memberikan maklumat sebenar untuk membolehkan tindakan diambil sekiranya berlaku sesuatu membabitkan Covid-19.

"Kami harap umat Islam memberi kerjasama dengan meletakkan nama dan maklumat sebenar ketika mendaftar di masjid dan surau.

"Ia memudahkan pengurusan masjid dan surau mengambil tindakan jika berlaku kes membabitkan Covid-19," katanya hari ini.

Mohd Zaidi berkata, selain mendaftar secara atas talian, umat Islam juga boleh mendaftar secara manual di mana-mana masjid untuk menunaikan solat Jumaat dan ada petugas yang mengendalikan urusan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 7:18 PM