ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) ketika melakukan pengendalian haiwan berbisa semasa Program Sehari APM bersama Media di Pejabat Negeri Pertahanan Awam, Lorong Air Itam, Georgetown . FOTO Zuhainy Zulkiffli
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) ketika melakukan pengendalian haiwan berbisa semasa Program Sehari APM bersama Media di Pejabat Negeri Pertahanan Awam, Lorong Air Itam, Georgetown . FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli

KES penangkapan ular mencatatkan jumlah paling tinggi diterima Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang berbanding kes kecemasan lain di negeri ini.

Malah kes terbabit juga turut mencatatkan peningkatan di Malaysia bagi tempoh lapan tahun sejak kebelakangan ini.

Pegawai Operasi dan Bencana APM, C Sehgar berkata, daripada 7,122 kes kecemasan yang diterima APM sejak Januari hingga pertengahan Julai 2020, sebanyak 37 peratus daripadanya atau 2,651 kes adalah membabitkan penangkapan ular di negeri ini.

Katanya, daerah yang paling banyak mencatatkan kes tangkapan ular ialah di Timur Laut dan Seberang Perai Utara dengan paling banyak membabitkan penangkapan ular tedung dan sawa.

"Sebanyak 373 kes penangkapan ular dicatatkan pada Januari lalu diikuti Februari (312), Mac (345), April (346) sebelum meningkat mendadak pada Mei dengan 488 kes dan 558 kes pada Jun.

"Antara 1 sehingga 14 Julai lalu, Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 229 kes dan jumlah itu dijangka meningkat.

"Ada banyak faktor menyebabkan kes berkenaan meningkat, antaranya ialah keadaan cuaca yang tidak menentu selain pembangunan membabitkan habitatnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di dalam Program Sehari APM bersama Media di Pejabat Negeri Pertahanan Awam, Lorong Air Itam, di Georgetown hari ini.

Dalam program hari ini, media turut dibawa melawat ke pusat kawalan operasi MERS 999 dan pengendalian amali haiwan berbisa.

Mengulas lanjut Sehgar berkata, pihaknya bukan sahaja melakukan penangkapan di dalam kawasan rumah malah di bangunan tinggi seperti pangsapuri dan hotel.

Katanya, pengetahuan am mengenai situasi atau panduan semasa terserempak dengan ular juga penting diterapkan dalam kalangan masyarakat.

"Sekiranya kita memahami sifat ular yang sebenar, ia akan menjadi langkah awal bagi menyelamatkan seseorang daripada terkena bisa patukan.

"Ular tidak akan bertindak agresif atau menyerang sekiranya tidak berasa terancam sebaliknya, jika terserempak dengan haiwan itu, jangan bergerak sehingga ia berlalu pergi.

"Menghisap bisa atau mengikat bahagian yang dipatuk bukanlah rawatan awal, sebaliknya luka perlu dibalut kemas, bawa ular terbabit bersama ke hospital atau mengambil gambar ular berkenaan bagi memudahkan pemberian antivenom, " katanya.

Dicatatkan kes penangkapan ular oleh APM di Malaysia ialah 384,793 kes sejak 2010 hingga 2018 dengan kadar peningkatan sebanyak 295 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 8:17 PM