Jambatan kereta api yang digunakan penduduk. (Gambar kecil) Ab Aziz menunjukkan lokasi jambatan konkrit yang runtuh. Foto Ramli Ibrahim
Jambatan kereta api yang digunakan penduduk. (Gambar kecil) Ab Aziz menunjukkan lokasi jambatan konkrit yang runtuh. Foto Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

HAMPIR 1,000 penduduk di Kampung Batu Enam Renok dekat Gua Musang terputus hubungan berikutan jambatan konkrit runtuh pada Ahad lalu akan diatasi secepat mungkin.

Ia kerana peruntukan sebanyak RM5 juta sudah diluluskan kerajaan bagi membina jambatan konkrit baharu merintasi Sungai Galas di kampung itu supaya ia tidak tertangguh lebih lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Ab Aziz Yusof berkata, pembinaan segera jambatan itu penting bagi mengelakkan penduduk terus berdepan masalah perhubungan.

Menurutnya, ketika ini penduduk terpaksa berhadapan risiko dengan menggunakan jambatan kereta api untuk berulang-alik ke bandar Gua Musang setiap hari.

"Bagi menjaga keselamatan penduduk yang melalui jambatan kereta api itu, kita memasang dawai untuk memudah mereka berpegang elak terjatuh.

"Kemudahan dawai itu juga bagi menghalang motosikal ditunggang penduduk daripada tergelincir," katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi jambatan runtuh di kampung itu hari ini.

Jambatan konkrit itu merentasi Sungai Galas di kampung itu runtuh pada 4 petang Ahad lalu selepas tenggelam lebih enam jam berikutan hujan lebat sebelum itu.

Kebanyakan penduduk menunggu air sungai surut dengan untuk keluar ke bandar ini terkejut mendapati jambatan runtuh dihanyut arus deras.

Ab Aziz berkata, penduduk kampung terbabit tidak ada laluan alternatif lain untuk ke bandar Gua Musang termasuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Katanya, hanya laluan melalui jambatan kereta api sahaja yang ada dan mereka masing-masing berjalan kaki atau menunggang motosikal.

"Kereta yang dimiliki mereka terpaksa simpan di rumah sehingga pembinaan jambatan baharu dibina nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 11:45 AM