GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


TIGA lelaki yang menyamun jurujual di dalam lif ketika mahu ke rumah rakannya di Flat Bandar Perai Jaya, Bukit Mertajam, pada 14 Julai lalu, akhirnya ditahan polis dalam beberapa serbuan diadakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, susulan laporan dibuat mangsa berusia 27 tahun itu, polis mengadakan operasi sehari selepas kejadian itu hingga hari ini untuk memburu ketiga-tiga suspek terbabit.

"Hasilnya, ketiga-tiga suspek lelaki berusia 24 hingga 32 tahun ditahan polis dalam beberapa serbuan.

"Siasatan lanjut ke atas mereka mendapati semuanya mengaku melakukan kegiatan samun ke atas jurujual lelaki terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dua daripada suspek ditahan adalah penganggur manakala seorang lagi bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Menurutnya, perancang utama kejadian samun itu adalah suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan apabila dia mengarahkan seorang rakannya membawa lari kereta mangsa dan menyimpannya di sebuah flat dekat Mak Mandin manakala seorang lagi hanya menurut sahaja arahan diberikan.

"Semua barangan mangsa yang dilarikan suspek iaitu kereta Toyota Vios, telefon pintar Iphone X serta kunci kereta ditemui semula.

"Ketiga-tiga suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau itu kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kejadian 12.15 tengah malam pada 14 Julai lalu, seorang jurujual mengalami kerugian sekitar RM25,000 selepas disamun tiga lelaki ketika dia berada di dalam lif.

Ketika itu, lelaki berkenaan yang menyewa rumah di Jelutong, Georgetown mahu ke rumah rakannya yang terletak di tingkat 16 flat terbabit.

Berita berkaitan

'Disamun dalam lif'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 10:36 PM