PEGAWAI bomba, Mohd Fakhrul (depan) melakukan latihan berbasikal bersama rakan sebagai persediaan menghadapi kayuhan amal, 'Le Tour De Bomba' yang bermula 6 hingga 31 Ogos ini. FOTO ihsan Mohd Fakhrul
PEGAWAI bomba, Mohd Fakhrul (depan) melakukan latihan berbasikal bersama rakan sebagai persediaan menghadapi kayuhan amal, 'Le Tour De Bomba' yang bermula 6 hingga 31 Ogos ini. FOTO ihsan Mohd Fakhrul
Nurul Hidayah Bahaudin


TEKAD mencari dana bagi mengisi Tabung Kebajikan Anggota Bomba dan Penyelamat dijadikan inspirasi buat seorang pegawai bomba melakukan kayuhan basikal secara solo sejauh 2,020 kilometer.

Malah jurulatih di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu, Selangor, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 38, juga akan singgah di 63 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh Semenanjung dalam misi kayuhan amal, 'Le Tour De Bomba' bermula 6 Ogos hingga 31 Ogos ini.

Mohd Fakrul berkata, tujuan utama dia melakukan kayuhan itu adalah untuk mencari dana bagi Tabung Kebajikan Anggota Bomba sebelum disumbangkan kepada ahli keluarga anggota terkorban atau cedera ketika bertugas.

"Saya anggap penyertaan saya dalam program ini adalah 'hadiah' kepada jabatan dalam usaha membantu mereka menambah dana bagi tabung kebajikan.

"Misi ini membolehkan saya menaikkan imej jabatan apabila mengunjungi 63 BBP melalui kayuhan sejauh 2020 kilometer (minima) dengan berbasikal secara solo," katanya ketika dihubungi tadi.

Katanya, sebagai persiapan awal, dia melakukan latihan secara intensif setiap hari sejak bulan lalu.

"Saya tidak pernah berbasikal jarak jauh sebelum ini. Justeru, saya melakukan persiapan dengan melakukan latihan fizikal setiap pagi dan petang.

"Pada masa sama, saya juga melakukan persediaan dari segi mental dengan mempelajari pelbagai risiko serta masalah yang mungkin dihadapi termasuk insiden kecemasan memandangkan saya akan berbasikal secara solo," katanya.

Katanya, beliau berharap misi solo dilakukannya kelak akan berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 6:32 PM