X
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus.

Menurutnya, semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 65 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 34,967 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) terutamanya di lorong-lorong tikus.

"PDRM sudah berjaya menahan 11 warganegara asing atas kesalahan imigresen.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM juga membuat 63,511 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,821 Pasukan Pematuhan membabitkan 12,214 anggota membuat pemantauan di 3,986 pasar raya, 5,580 restoran serta 1,408 penjaja, 1,142 kilang, 3,639 bank dan 755 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau, sebanyak 1,122 terminal pengangkutan darat, 273 terminal pengangkutan air serta 130 terminal pengangkutan udara," katanya.

Beliau berkata, PDRM turut menahan 330 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.

"Daripada jumlah itu, seramai 23 individu direman manakala tiga individu dijamin manakala 304 individu lagi dikenakan kompaun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 3:43 PM