SUGU (kiri) bersama isterinya Pavithra. FOTO Bernama
SUGU (kiri) bersama isterinya Pavithra. FOTO Bernama
BERNAMA

PEMINAT YouTuber sensasi 'Sugu Pavithra' boleh melihat semula kemunculan pasangan itu di saluran mereka selewat-lewatnya pada petang ini.

M Sugu, 29, berkata, dia menjangka video baharu akan dimuat naik di YouTube 'Sugu Pavithra' pada petang ini jika segala perbincangan dengan beberapa pihak selesai.

Sugu, suami kepada S Pavithra, 28, yang juga YouTuber masakan mengakui memadam semua 98 video di saluran berkenaan yang dimuat naik sejak Januari lalu atas beberapa faktor peribadi.

"Saya sendiri yang padam semua video itu selepas apa yang terjadi (didakwa di mahkamah)," katanya ketika dihubungi di Bernama di Ipoh, hari ini.

Pada 24 Julai, Sugu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dakwaan memiliki senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya menggunakan telefon bimbit serta hulu sabit, Selasa lalu, Pavithra mengakui memaafkan perbuatan suaminya itu.

Selain itu, Pavithra ketika ditemui di mahkamah juga berkata, mereka enggan menerima sebarang pengiktirafan atau penganugerahan ikon, sebaliknya mahu menumpu kepada penghasilan video masakan menerusi saluran Youtube seperti biasa.

Bercerita lanjut, Sugu yang juga bekas pekerja sebuah syarikat perladangan swasta di Sungai Siput turut mengakui hilang pendapatan daripada YouTube yang dianggap lumayan susulan tindakan memadam semua video.

"Tapi tidak mengapa, kerana saya ada tangan, kaki cukup boleh cari kerja. Sebelum (menjadi YouTuber) ini pun punca pendapatan dengan bekerja," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada pengikut setia yang kini berjumlah 787,000 orang.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan Sugu yang dalam keadaan mabuk membawa sabit mencari adik iparnya kerana masalah keluarga di luar wad bersalin Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Kejadian itu berpunca akibat salah faham antara suspek dengan isterinya berkaitan satu majlis yang berlangsung sehari sebelum itu.

Bernama adalah media pertama melaporkan kisah pasangan berkenaan pada 8 Mei lalu, yang ketika itu mempunyai sejumlah 420,000 pelanggan.

Berita berkaitan

'Tidak mahu lagi ada kena-mengena dengan Youtube' - Sugu Pavithra

Apa sudah jadi dengan saluran Youtube Sugu Pavithra

Suami S Pavithra didakwa memiliki senjata berbahaya

Pavithra tenang

'Saya dan suami akan teruskan rancangan masakan di YouTube nanti' - Pavithra

Sugu Pavithra dapat gaji sulung sebagai Youtuber


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 10:28 AM