KENDERAAN mulai meningkat di Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur, malam ini. FOTO ihsan pembaca.
KENDERAAN mulai meningkat di Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur, malam ini. FOTO ihsan pembaca.
Yusmizal Dolah Aling


KEADAAN trafik mulai sesak selepas Plaza Tol Gombak menghala Pantai Timur sempena cuti perayaan Aidiladha Jumaat ini.

Kenderaan dilihat bersesak-sesak keluar dari plaza tol berkenaan sejak 10 malam ini dan keadaan trafik perlahan sejauh beberapa kilometer.

Menerusi video kiriman pembaca, laluan utama menghala ke Pahang, Kelantan dan Terengganu itu kini mula dibanjiri kenderaan sempena cuti perayaan yang bermula esok sehingga minggu depan.

Pemerhatian wartawan di laman Facebook mendapati, warganet berkongsi situasi semasa di beberapa jalan persekutuan dan mendapati keadaan masih lagi terkawal biarpun terdapat pertambahan kenderaan.

Manakala sekretariat Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) memaklumkan, trafik semakin meningkat selepas Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah.

Pengerusinya, Mohammad Hisham Shafie berkata, peningkatan aliran trafik itu dijangkakan kerana orang ramai ingin pulang ke kampung halaman masing-masing.

Beliau yang membuat tinjauan di Lebuh Raya Utara - Selatan arah utara berkata, keadaan masih lagi terkawal dan tiada kesesakan teruk berlaku pada masa ini.

"Keadaan masih terkawal, tiada kesesakan. Mungkin ramai yang merancang pulang esok. Apapun nasihat saya agar pengguna jalan raya lebih berhati-hati ketika musim perayaan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 10:48 PM