Nur Izzati

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket penyeludupan rokok seludup apabila merampas 31 juta batang rokok bernilai hampir RM2.5 juta dalam operasi yang diadakan di Pelabuhan Klang, Selangor, Jumaat lalu.

Dalam operasi pada 10 pagi itu, seorang wakil syarikat perkapalan warga tempatan berusia lingkungan 40-an turut ditahan untuk membantu siasatan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasa dan Pematuhan) Datuk Johari Alifiah berkata, sepasukan anggota JKDM mengadakan operasi di bahagian pelabuhan utara dan barat selepas menjalankan risikan serta memperoleh maklumat berkaitan aktiviti berkenaan.

"Hasilnya, dalam operasi yang berlangsung hampir dua jam itu berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok seludup dengan anggaran duti cukai kira-kira RM20.7 juta.

"Dalam serbuan di Pelabuhan Utara, anggota JKDM turut menahan kontena yang didalamnya terdapat lebih 10.3 juta batang rokok bernilai RM828,800 dengan duti cukai kira-kira RM6.9 juta.

"Serbuan di Pelabuhan Barat pula, kira-kira 20.7 juta batang rokok di dalam dua kontena dirampas membabitkan nilai RM1.65 juta dengan duti cukai kira-kira RM13.8 juta," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat JKDM Pulau Pinang dekat Perai di Butterworth hari ini.

Johari menunjukkan rokok yang dirampas ketika sidang media di  di Ibu Pejabat JKDM Pulau Pinang dekat Perai di Butterworth hari ini. Foto Audrey Dermawan
Johari menunjukkan rokok yang dirampas ketika sidang media di di Ibu Pejabat JKDM Pulau Pinang dekat Perai di Butterworth hari ini. Foto Audrey Dermawan

Sementara itu, Johari berkata, modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan adalah dengan mengikrar dagangan sebagai pam perindustrian dan perkakasan porselin supaya mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

"Siasatan mendapati kontena terbabit diuruskan syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang.

"Rokok-rokok seludup ini dipercayai dibawa masuk dari Timur Tengah untuk pasaran tempatan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 7:10 PM