DEWAN Undangan Negeri Sabah. FOTO Arkib NSTP
DEWAN Undangan Negeri Sabah. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali


PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bukan satu kejutan besar, namun Parti Maju Sabah (SAPP) berpendirian bahawa Istana Negeri tidak harus membuat keputusan secara drastik.

Presidennya, Datuk Yong Teck Lee berkata, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin seharusnya mencontohi tindakan Istana Negara ketika pensejajaran semula kuasa di peringkat Pusat, Februari lalu.

Beliau berkata, meskipun pembubaran itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, ia bersifat 'aneh' dan melulu.

"Ini kerana Yang Dipertua Negeri Sabah seharusnya lebih bijak sebelum membuat keputusan yang drastik secara tiba-tiba seperti membubarkan DUN hingga kejatuhan kerajaan negeri.

"Berdasarkan contoh baik yang ditunjukkan oleh Istana Negara baru-baru ini, Yang Dipertua Negeri Sabah seharusnya memanggil kesemua 65 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk memastikan pandangan mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, pihaknya juga meneliti senario politik semasa sebelum menentukan hala tuju parti.

Terdahulu, media semalam melaporkan Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Bagaimanapun, percubaan rombongan Musa bersama 33 ADUN untuk menghadap Tun Juhar semalam tidak berjaya berikutan Istana Negeri tidak membenarkan rombongan terbabit memasuki Istana Negeri.

Sementara itu, Shafie juga mengumumkan DUN Sabah dibubarkan dalam satu sidang media khas di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu, semalam.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 3:06 PM