ORANG ramai di Pantai Teluk Cempedak. FOTO Farizul Hafiz Awang
ORANG ramai di Pantai Teluk Cempedak. FOTO Farizul Hafiz Awang
BERNAMA

POLIS akan mengemukakan cadangan supaya kemasukan pengunjung ke pantai peranginan Teluk Cempedak, Kuantandihadkan terutamanya pada hujung minggu bagi memastikan aspek penjarakan fizikal dapat dipatuhi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, cadangan itu difikirkan perlu ekoran tinjauan polis pada petang semalam, mendapati jumlah pengunjung di situ terlalu ramai sehingga berlaku kesesakan di laluan masuk ke pantai itu.

"Pengunjung masih berterusan mahu masuk menyebabkan polis terpaksa mengarahkan mereka membuat pusingan-u. Kita telah terangkan situasi yang berlaku dan minta supaya mereka kembali semula pada hari lain kerana ini melibatkan aspek keselamatan.

Walaupun tinjauan di pantai mendapati pengunjung akur menggunakan pelitup muka seperti arahan kerajaan, namun jumlah yang terlalu ramai menyukarkan mereka mengamalkan penjarakan fizikal," katanya kepada media di Kuantan, hari ini.

Mohamad Noor berkata, cadangan itu akan dibincangkan dengan pihak berkaitan termasuk Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan berharap masyarakat dapat memahami tindakan itu terpaksa diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Selain Teluk Cempedak, Mohamad Noor berkata, pihaknya akan terus membuat tinjauan di lokasi tumpuan awam sekitar Kuantan termasuk di pasar bagi memastikan orang awam terus menggunakan pelitup muka di situ.

"Tumpuan juga akan diberikan kepada pengangkutan awam kerana ia melibatkan pelbagai peringkat usia. Pemeriksaan secara mengejut akan dilakukan secara berkala di terminal bas selain sekatan jalan raya.

"Kita berharap pengendali syarikat pengangkutan awam dapat memberikan kerjasama kepada polis dan mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Pada perkembangan berkaitan, Mohamad Noor berkata, mereka mengeluarkan kompaun kepada 17 individu kerana tidak memakai pelitup muka pada operasi pematuhan di sekitar bandar ini, Teluk Cempedak, Terminal Sentral Kuantan dan sebuah pusat beli-belah di Kuantan, semalam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 10:40 AM