GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Noorazura Abdul Rahman


KERAJAAN negeri bersedia dan akur sekiranya Kerajaan Persekutuan mahu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Kubang Pasu. Kedah, susulan penambahan kes positif Covid-19 hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata langkah itu dilihat sangat penting berikutan orang ramai masih berdegil tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Beberapa kampung sudah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga seperti maklumat diperolehi. Penduduk perlu bantu diri sendiri, jika bergejala atau ada kontak rapat dengan individu yang positif, mereka harus segera lakukan saringan.

"Kami bimbang kes akan bertambah berikutan ada lagi keputusan saringan yang belum keluar. Kini, jika jalan terbaik adalah PKPD, maka kita akan ikut sahaja bagi memutuskan rantaian Covid-19,"katanya ketika dihubungi tadi.

Mohd Hayati berkata, ketika ini penduduk di Kedah tidak mempunyai pilihan lain dan seharusnya kejadian kluster Sivagangga dijadikan pengajaran untuk semua.

Katanya, penjarakan fizikal, memakai pelitup muka serta menjaga kebersihan diri perlu dititikberatkan walaupun tinggal di kawasan kampung.

Selasa lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan terdapat kluster baharu dikenal pasti di Kedah iaitu Kluster Sivagangga membabitkan seorang pemilik kedai makan, seorang ahli keluarganya dan empat pekerja kedai di Napoh.

Selepas lima hari, kes itu bertambah kepada 20 orang (tambahan 13 orang) hari ini membabitkan kawasan di Napoh, Megat Dewa dan Padang Sanai, Padang Terap.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 6:00 PM