Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Foto NSTP
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Foto NSTP
BERNAMA

KERAJAAN akan meningkatkan usaha untuk memperkukuh golongan belia supaya lebih berjaya termasuk dari segi pendidikan menerusi Belanjawan 2021.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Belanjawan 2021 dijadual dibentangkan pada 6 November ini.

Menurutnya, selain menjadi penyumbang utama terhadap hala tuju pembangunan negara, belia juga merupakan kumpulan paling ramai membantu masyarakat yang terkesan ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Katanya, kerajaan juga menyedari bahawa belia memerlukan sokongan dari segi pendidikan awam yang baik serta ekonomi yang dapat memberi mereka peluang untuk berdikari serta berjaya.

"Peluang perlu disediakan untuk semua, sama ada yang berkelulusan akademik atau vokasional. Semua ini akan diperincikan semasa penyediaan Belanjawan 2021.

"Sehubungan itu, saya ingin menjemput seluruh rakyat termasuk belia untuk berkongsi idea dan cadangan yang boleh dipertimbangkan untuk Belanjawan 2021 dan boleh diemelkan terus kepada kementerian di [email protected]," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Wawancara Felow Perdana bertajuk 'Belia: Ekonomi & Masa Depan Negara' terbitan Kementerian Kewangan dengan kerjasama Bernama TV di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, kementerian itu juga merancang untuk menyediakan platform bagi membolehkan golongan belia meningkatkan pengetahuan dalam pengurusan kewangan.

"Ilmu kewangan amat penting dalam menentukan hala tuju kehidupan masing-masing. Oleh itu, saya memang galakkan belia untuk menimba ilmu dalam bidang itu," katanya.

Kementerian Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, belia, Belanjawan 2021

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 7:40 PM