TINJAUAN pemakaian pelitup muka oleh pelancong dan warga asing di kawasan tumpuan sekitar Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
TINJAUAN pemakaian pelitup muka oleh pelancong dan warga asing di kawasan tumpuan sekitar Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
Murnaena Muhammad Nasir

PAKAI pelitup muka sekadar untuk mengelak daripada dikompaun RM1,000.

Itu mungkin ungkapan untuk menggambarkan situasi di lokasi tumpuan awam di sekitar Pasar Seni, Bukit Bintang dan Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Tinjauan Harian Metro pada hari kedua arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka mendapati orang ramai akur, tetapi terdapat juga tidak memakainya dengan betul apabila diletakkan di bawah dagu.

Pemakaian seperti itu merisaukan kerana boleh menyebabkan mulut dan hidung terkena jangkitan bakteria, virus dan kuman.

Malah, terdapat juga segelintir individu tidak memakai pelitup muka ketika duduk di perhentian bas Pasar Seni, namun memakainya sejurus menaiki bas.

Malah, ada individu yang merokok di perhentian bas dan meletakkan pelitup muka di sebelah tempat duduknya tanpa alas.

Selain itu, beberapa pekerja warga asing dilihat membuka pelitup muka dan meletakkannya dalam kocek baju ketika ingin mengambil gambar di Bukit Bintang.

Pekerja sebuah kedai emas yang enggan dikenali, berkata dia tidak dapat mengawal kehadiran pelanggan sehingga sukar melakukan penjarakan fizikal di premis itu.

Katanya, keadaan itu berlaku berikutan premis terbabit mengadakan tawaran istimewa dan kebetulan pula cuti umum.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, kami akan memeriksa suhu badan dan merekod nama pelanggan sebelum membenarkan mereka masuk ke dalam kedai.

"Satu pelanggan bawa lima hingga enam ahli keluarga menyebabkan sesak dalam kedai ini, dan takkan kami nak halau orang lain pula," katanya.

Sementara itu, pekerja kedai kasut, Nur Azrina Masrin, 27, berkata penjualan pelitup muka semakin laris berikutan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian kit pencegahan virus berkenaan.

"Ramai yang datang bukan beli kasut, tapi beli pelitup muka. Saya jual disebabkan ada permintaan tinggi di samping memudahkan orang ramai mendapatkannya.

"Kebanyakan pembeli mencari pelitup muka jenis fabrik yang boleh dibasuh dan diguna semula," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 8:07 PM