KANAK-KANAK berusia dua tahun didukung anggota bomba selepas diselamatkan apabila terperangkap dalam kereta di SK Tunku Putera, Baling. FOTO Ihsan bomba
KANAK-KANAK berusia dua tahun didukung anggota bomba selepas diselamatkan apabila terperangkap dalam kereta di SK Tunku Putera, Baling. FOTO Ihsan bomba
Safuri Kamarudin

"KAMI berusaha sepantas mungkin bagi membuka pintu Perodua Myvi itu bagi menyelamatkan kanak-kanak dua tahun yang terperangkap," kata Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Yunus Ali, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Baling bergegas ke kawasan Sekolah Kebangsaan Tunku Putera di Baling, jam 7.52 pagi selepas dimaklumkan berkaitan seorang kanak-kanak terperangkap dalam Perodua Myvi.

Menurut Mohamad Yunus, ketika ditemui, kanak-kanak dikenali sebagai Yada itu sedang menyusu botol namun tidak menangis.

"Kami cepat-cepat berusaha membuka pintu selepas mendapatinya semakin gelisah," katanya.

Menurut Mohamad Yunus, kanak-kanak itu terperangkap apabila pintu terkunci daripada dalam selepas dia ditinggalkan ibunya.

"Kami ambil masa kira-kira lima minit untuk membuka pintu berkenaan dengan menggunakan peralatan khas.

"Syukur kerana orang ramai pantas menghubungi bomba memaklumkan kejadian," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Penolong Penguasa Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.51 pagi dan tiba ke lokasi seminit kemudian.

"Tujuh anggota di kerah ke lokasi. Difahamkan, ibu kanak-kanak itu menghantar anaknya yang lain masuk ke sekolah dan kanak-kanak berkenaan ditinggalkan dalam kereta kerana sedang menyusu botol.

"Enjin kereta dibiarkan hidup namun pintu tiba-tiba terkunci secara automatik," katanya.

Mohd Jamil menasihati ibu bapa supaya tidak leka dan meninggalkan anak kecil dalam kereta kerana ia boleh mengundang tragedi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 3:47 PM