Pelitup muka. FOTO Arkib NSTP
Pelitup muka. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan


RAKYAT Malaysia mahu kerajaan menurunkan harga pelitup muka ke paras bawah RM1.20 supaya tidak membebankan perbelanjaan bulanan selepas mewajibkan pemakaiannya bermula 1 Ogos lalu.

Bermula Sabtu lalu, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat sesak dan juga pengangkutan awam atau tindakan kompaun RM1,000 dikenakan ke atas individu yang ingkar.

Malah, berkuat kuasa 15 Ogos depan pembekal dan peniaga tidak boleh menaikkan harga pelitup muka melebihi harga maksimum ditetapkan kerajaan iaitu RM1.20 sekeping.

Bagi bapa anak tiga, Mohd Ridzuan Mohd Yusof, 38, sebaik kerajaan mengumumkan mewajibkan pemakaian pelitup muka membuatkan setiap keluarga terpaksa memikirkan kos tambahan dalam perbelanjaan harian.

"Bagaimanapun, demi memutuskan jangkitan penularan Covid-19, kami bersetuju dengan langkah kerajaan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka ini.

"Namun, kami sangat berharap kerajaan dapat menurunkan lagi harga pelitup muka ke paras bawah RM1.20 sekeping bagi mengurangkan bebanan bulanan kami.

"Bayangkan jika ada ahli keluarga ramai pastinya memberi kesan kepada perbelanjaan harian," katanya.

Pendapat sama turut dikongsi jurutera, Md Afif Md Anuar, 34, yang mahu kerajaan mengambil kira pendapatan isi rumah bawah 40 yang pastinya terbeban dengan harga pelitup muka sekarang.

"Disebabkan ia wajib dan perlu dipakai setiap hari, pastinya membuatkan golongan bawah merasakan terbeban.

"Kemungkinan orang ramai cenderung mengitar semula bagi mengelak pembaziran daripada kesedaran kesihatan berikutan mentaliti mereka hanya memakai sekadar memenuhi syarat," katanya.

Md Afif berkata, kerajaan perlu meletakkan harga siling pelitup muka di bawah paras RM1 bagi tidak membebankan dan membuatkan orang ramai tidak mengitar semula.

"Orang ramai mungkin akan menggunakan pelitup muka jenis fabrik supaya boleh dicuci dan digunakan berulang kali," katanya.

Bagi perunding kecantikan, Nur Syazleen Bukhari, 25, berkata, sepatutnya harga pelitup muka dikembalikan kepada normal sebelum penularan pandemik ini.

"Jika dulu harga sekeping pelitup muka berada di bawah RM1, tetapi apabila pandemik berlaku harganya melampau tinggi.

"Ini menyebabkan mereka kurang berkemampuan akan rasa terbeban sebaik langkah kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka," katanya.

Pekerja sektor swasta, Noor Aznita Mohd Yassin, 43, pula berpendapat keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang ramai perlu mengurangkan aktiviti keluar rumah.

"Contoh jika mahu keluar membeli barang, mungkin ketua keluarga saja yang keluar tanpa perlu membawa anak sekali gus mengurangkan risiko jangkitan.

"Saya rasa harga yang dikenakan RM1.20 sekeping sudah memadai berikutan kebaikan menggunakannya lebih bernilai bagi mengurangkan jangkitan.

"Bergantung kepada pendapatan keluarga juga, jika ahli keluarga ramai perlu mengurangkan keluar rumah," katanya.

Ditanya adakah sukar mencari pelitup muka sekarang, Noor Aznita berkata, tiada kesukaran membeli pelitup muka sekarang berikutan banyak premis sudah menjualnya.

"Macam saya sendiri akan membeli pelitup muka secara dalam talian bagi tidak memutuskan stok di rumah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 4:45 PM