Amir Abd Hamid


KERTAS siasatan kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu dengan dua cadangan disyorkan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin Hamzah berkata, ia susulan keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam yang bersidang pada 27 September 2019 bahawa kematian Muhammad Adib bukan disebabkan kemalangan tetapi perbuatan jenayah oleh dua atau lebih suspek.

Katanya, berdasarkan keputusan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menjalankan siasatan berdasarkan arahan Pejabat Peguam Negara dan mengumpul bukti-bukti yang ada untuk dikemukakan semula kepada pihak pendakwaan.

"Kertas siasatan dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara dengan cadangan seperti berikut iaitu pertama menuduh 12 orang suspek di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang merusuh dan menyerang jentera bomba.

"Kedua, mengadakan inkues semula untuk siasatan lanjut jika dipersetujui Peguam Negara di bawah peruntukan Seksyen 339 (2) Kanun Prosedur Jenayah," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

DATUK Seri Hamzah Zainuddin, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim (gambar kecil). FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Hamzah Zainuddin, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim (gambar kecil). FOTO Mohd Fadli Hamzah

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, pada 13 Julai lalu dilaporkan berkata masih tiada saksi yang dipanggil memberi keterangan bahawa mereka benar-benar melihat Muhammad Adib dipukul.

Abdul Hamid dipetik berkata, semua keterangan yang diperoleh pihaknya bersifat dengar cakap dan juga pendapat.

Bagaimanapun katanya, usaha mengenal pasti pelaku jenayah masih dijalankan, jika ada.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 8:35 PM