Oleh Noorazura Abdul Rahman


PENDUDUK Napoh terutama yang berpendapatan rendah berharap kerajaan dapat menyalurkan bantuan makanan selepas mereka tidak dapat bekerja susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO).

Tinjauan mendapati, sebahagian besar penduduk yang bekerja sebagai penoreh dan petani akur dengan arahan kerajaan dan menjalani kuarantin di rumah.

Penduduk, Bunga Ali, 56, berkata, dia berharap bantuan makanan asas dapat diberikan kerana hanya bergantung kepada gaji suami RM1,200 sebulan.

"Kami sekeluarga dipakaikan gelang merah jambu, suami hanya menjadi tukang kebun di kilang dan gajinya diguna untuk menyara keluarga termasuk menanggung dua anak yang masih bersekolah.

"Suami pula antara kontak rapat kerana pernah singgah membeli makanan di restoran di Napoh. Kami ada membeli bekalan makanan tetapi tidak pasti sama ada ia cukup untuk dua minggu atau sebaliknya," katanya dihubungi di sini, hari ini.

Azlina Ibrahim, 45, berkata, suaminya bekerja sebagai penoreh selain mengusahakan sawah dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan.

"Kami ada beli stok makanan tetapi tidak banyak, kini sumber pendapatan suami terputus. Saya harap kerajaan lihat nasib kami dan empat anak yang masih bersekolah.

"Jika TEMCO disambung, ia akan beri kesan besar buat keluarga saya," katanya.

Sementara itu, tinjauan di kedai runcit sekitar Napoh mendapati, kebanyakan bekalan roti habis sejak semalam.

Peniaga, Sri Thran Nadaraja, 38, berkata, permintaan terhadap roti meningkat akibat Kluster Sivagangga.

"Sudah beberapa hari pembekal tidak hantar roti, ada dalam kalangan pemandu lori turut dikuarantin.

"Permintaan terhadap roti meningkat kerana penduduk tidak dapat keluar.

"Bekalan barangan keperluan lain di kedai saya mencukupi kerana tiada belian panik selain hanya ketua keluarga dibenarkan keluar membeli bekalan makanan," katanya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan pelaksanaan TEMCO di Mukim Hosba, Mukim Ah, Mukim Binjal (Padang Terap) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap).

Tinjauan di Pekan Napoh berikutan penularan wabak COVID-19 yang dikaitkan dengan kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga. FOTO AMRAN HAMID
Tinjauan di Pekan Napoh berikutan penularan wabak COVID-19 yang dikaitkan dengan kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga. FOTO AMRAN HAMID

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 4:58 PM