BAJA organik yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
BAJA organik yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
Murnaena Muhammad Nasir


CUBAAN membawa masuk 25,000 kilogram (kg) baja organik dari China ke negara ini gagal apabila ia dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Julai lalu.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, baja organik itu dipercayai dibawa masuk dari China tanpa permit import sah melalui pintu masuk Pelabuhan Klang Utara.

Menurutnya, semua hasil rampasan berjaya ditahan penguat kuasa MAQIS ketika pemeriksaan rutin dilakukan di pintu masuk berkenaan.

"Hasil rampasan seberat 25,000 kg baja organik itu dianggarkan bernilai lebih RM43,000. Ia ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang Permit Import sah yang dikeluarkan MAQIS," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia [Akta 728] yang boleh dihukum bawah seksyen 11 (3) Akta sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 6:11 PM