X
AMUKAN gajah yang menyerang kereta dipandu mangsa. FOTO Arkib NSTP
AMUKAN gajah yang menyerang kereta dipandu mangsa. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PEMEGANG polisi atau sijil takaful adalah dilindungi sekiranya terbabit dalam kejadian serangan membabitkan haiwan liar seperti yang berlaku dalam beberapa kejadian baru-baru ini.

Persatuan Takaful Malaysia (MTA) memaklumkan, pemegang polisi bagaimanapun tidak akan mendapat perlindungan itu sekiranya mereka dengan sengaja mendedahkan diri kepada bahaya haiwan liar berkenaan.

Menurutnya, pemegang polisi atau sijil takaful yang mempunyai perlindungan manfaat kemalangan peribadi atau takaful keluarga selain manfaat perubatan dan kesihatan.

"Pemegang polisi mendapat perlindungan berdasarkan terma dan syarat syarikat insuran atau pengendali takaful seperti yang dipersetujui kedua-dua pihak.

"Pemegang polisi juga dinasihatkan untuk menyemak semula perlindungan yang diberikan oleh polisi insuran dan polisi selain berhubung terus dengan syarikat insuran serta pengendali takaful untuk tindakan lanjut," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, sekiranya serangan haiwan liar yang merosakkan kenderaan perlu terus berhubung dengan syarikat insuran atau pengendali takaful kerana ia berbeza mengikut penilaian syarikat berkenaan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan lima individu bernasib baik apabila berjaya keluar untuk menyelamatkan diri apabila kenderaan mereka dipijak gajah yang mengamuk selepas kereta lain membunyikan hon di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik, Ahad lalu.

Kejadian jam 7 malam itu berlaku ketika kenderaan berkenaan dikatakan menghala ke Perak dari Kelantan dan kejadian berlaku tidak jauh dari Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Puncak Banjaran Titiwangsa.

Selain itu, beberapa kejadian serangan haiwan liar terutamanya gajah dilaporkan tahun ini sehingga mengakibatkan kematian selain merosakkan harta benda dan tanaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 10:37 PM