MD Ali (dua kanan) merasmikan kayuhan Jurulatih Bomba, Mohd Fakhrul Munir pada Majlis Pelancaran Kayuhan Amal Bomba 2020 'Mencari Hati Emas'. FOTO Mahzir Mat Isa.
MD Ali (dua kanan) merasmikan kayuhan Jurulatih Bomba, Mohd Fakhrul Munir pada Majlis Pelancaran Kayuhan Amal Bomba 2020 'Mencari Hati Emas'. FOTO Mahzir Mat Isa.
Muhaamad Hafis Nawawi


MEMBANTU anggota bomba yang terbabit kemalangan atau terkorban ketika bertugas menjadi objektif utama jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Kuala Kubu, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 38, untuk melakukan kayuhan solo bagi mengutip dana.

Mohd Fakhrul berkata, dia sudah merancang untuk membuat Kayuhan Solo Amal 2020 Mencari Hati Emas ini sejak dua tahun lalu.

Namun, katanya, dalam tempoh dua bulan terakhir ini perancangan dibuat dengan lebih giat sebelum hajat itu direalisasikan, hari ini.

Menurutnya, dia akan melakukan kayuhan sejauh 2,020 kilometer iaitu sempena tahun 2020 dan melawat 63 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Semenanjung Malaysia iaitu jumlah sama dengan tarikh kemerdekaan yang ke-63, tahun ini.

"Tujuan saya adalah mencari dana atau sumber kewangan bagi membantu anggota bomba yang terkorban atau terbabit kemalangan ketika bertugas.

"Saya juga akan membuat kajian interprestasi anggota bomba terhadap fasiliti latihan modul yang diadakan di akademi," katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan Kayuhan Solo Amal 2020 Mencari Hati Emas di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Kuala Kubu, Hulu Selangor, hari ini.

Katanya, kayuhan bermula dari akademi ke selatan sebelum ke pantai timur dan utara, sebelum dijangka tiba di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya pada 31 Ogos ini.

"Tiada sasaran kutipan dana ditetapkan, dan semua wang yang berjaya dikumpul akan diserahkan kepada Ketua Pengarah JBPM untuk disalurkan kepada anggota bomba yang tidak bernasib baik.

"Ini kali pertama saya melakukan kayuhan solo sejak aktif berbasikal lima tahun lalu kerana sebelum ini banyak terbabit dalam aktiviti mendaki," katanya.

Terdahulu, Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Kuala Kubu, Md Ali Ismail merasmikan majlis pelepasan Mohd Fakhrul yang akan mula berkayuh selama 26 hari bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 1:17 PM