X
MOHSIN menunjukkan surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Pusat Asasi UIAM Kampus Gambang Kuantan kepada kedua ibu bapa yang merupakan OKU. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
MOHSIN menunjukkan surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Pusat Asasi UIAM Kampus Gambang Kuantan kepada kedua ibu bapa yang merupakan OKU. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Khidir Zakaria


WALAUPUN berstatus orang kurang upaya (OKU), suami isteri, Ismail Othman, 48, dan Yahidah Yusof, 43, tetap mementingkan pendidikan untuk anak-anak dan buktinya, keempat-empat anak mereka cemerlang dalam bidang berkenaan.

Untuk rekod, Ismail adalah OKU fizikal manakala Yahidah pula OKU lembam.

Anak sulung mereka, Muhammad Mohsin, 18, mendapat keputusan 8A, 2B dan 1C pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Muhammad Mohsin berkata, ia membolehkan dia melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gambang, Pahang dalam program Asasi Kejuruteraan dan Sains Komputer.

"Melanjutkan pengajian ke menara gading adalah impian saya sejak dulu dan pengorbanan ibu bapa saya juga bukan sesuatu yang mudah untuk digapai.

"Ayah menjual surat khabar dan mencari barangan lusuh untuk dijual demi sesuap nasi namun pada masa sama, dia menekankan pentingnya pendidikan terhadap kami empat beradik.

"Kegigihan ayah dan ibu menguatkan lagi semangat saya untuk berjaya seterusnya mengubah nasib keluarga," katanya.

Dia ditemui selepas menerima sumbangan wang tunai daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di rumah keluarganya di Kampung Ujong Pasir, Ampangan di sini, kelmarin.

Katanya, ibunya suri rumah sepenuh masa dan hanya bergantung kepada sumber rezeki di bawa pulang ayahnya.

"Sebaik tamat peperiksaan SPM, saya bekerja di sebuah restoran makanan segera bagi mengumpul belanja membantu keluarga selain menabung untuk menyambung pelajaran," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia bangga kerana ayahnya tidak meminta-minta dan menyusahkan orang lain malah tidak pernah mengeluh jika tiada duit tetapi sentiasa memberikan galakan kepada mereka untuk belajar.

"Pesan ayah, sesusah mana pun atau sesibuk mana pun kita, jangan tinggal solat dan saya rasa itulah rahsianya, kejayaan ini kerana hanya Allah SWT tempat mengadu," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Haji Mohd Said (SHAM), Seremban ini.

Tiga lagi adiknya, Muhammad Mustaza, 17, bersekolah di Sekolah Agama Petra Makmur, Nuraini, 14, bersekolah di SHAM dan Muhammad Muaz Ismail, 11, tahun lima di Sekolah Kebangsaan King George V.

Sementara itu, Ismail berkata, dia bangga anak sulungnya dapat melanjutkan pengajian di menara gading walaupun belajar dalam suasana kekurangan.

"Pada mulanya, saya buntu kerana untuk masuk ke universiti, ia memerlukan belanja tinggi namun saya tetap berusaha mencari wang tambahan untuk menghantar Muhammad Mohsin ke Universiti demi masa depannya kelak.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9 Norfadilah Mansor berkata, keluarga ini perlu dibantu bagi meringankan beban mereka menghantar anak menyambung pengajian di UIA.

"Kami hanya menyampaikan amanah penyumbang dan kami berharap agar, Muhammad Mohsin dapat menghabiskan pembelajarannya sehingga ke tahap tertinggi bagi mengubah kehidupan mereka sekeluarga.

"Orang ramai boleh menyumbang ke akaun Bank Muamalat 0501 0026251 72 atas nama Ismail Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 3:55 PM