KETUA Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang (dua kanan) dan Presiden Management & Scrience University (MSU), Tan Sri Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid (dua kiri) menyaksikan Naib Presiden Kanan Komunikasi dan Endowmen MSU, Datuk Rosli Yusof dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali bertukar dokumen pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MSU dengan JPS di MSU, Seksyen 13, Shah Alam. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
KETUA Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang (dua kanan) dan Presiden Management & Scrience University (MSU), Tan Sri Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid (dua kiri) menyaksikan Naib Presiden Kanan Komunikasi dan Endowmen MSU, Datuk Rosli Yusof dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali bertukar dokumen pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MSU dengan JPS di MSU, Seksyen 13, Shah Alam. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Ruwaida Md Zain


KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) mensasarkan 10,000 kilometer (km) laluan bagi projek pembinaan Denai Sungai Nasional (National River Trails) di seluruh negara.

Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang berkata, pembinaan denai sungai itu adalah langkah terbaik bagi mengatasi masalah pencemaran sisa di sungai melalui kaedah pengawalan pencemaran di punca.

"Pembinaan denai di kawasan rizab sungai adalah antara kaedah yang berupaya mengawal pencemaran sungai melalui pembabitan berterusan oleh komuniti setempat.

"Pembabitan komuniti setempat, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat juga secara tidak langsung dapat memupuk dan meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan penjagaan sungai dan alam sekitar.

"Bagi projek ini, KASA menyasarkan untuk membina laluan sepanjang 10,000 kilometer menerusi projek terbabit di seluruh negara menjelang tahun 2030," katanya selepas Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang Akademik dan Penyelidikan antara JPS dan MSU di Kampus MSU, Shah Alam di sini, semalam.

MoU itu ditandatangani Ketua Pengarah JPS Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali mewakili KASA bersama Naib Presiden Kanan Komunikasi dan Endowmen MSU Datuk Rosli Yusof yang mewakili MSU.

MoU itu turut disaksikan Presiden Management and Science University (MSU) Prof. Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Zaini berkata, melalui MoU ini, projek perintis pembinaan denai di Sungai Damansara adalah usaha sama KASA dengan MSU yang akan dilaksanakan secara Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR).

"Antara projek yang bakal dilaksanakan adalah penyelidikan kualiti air sungai, pendidikan sungai, penanaman pokok dan penyediaan landskap secara nature based material bagi menjaga keindahan dan kelestarian sungai," katanya.

Jelas beliau, pemeteraian MoU itu adalah langkah positif dalam mengukuhkan hubungan kerjasama kedua-dua pihak untuk meningkatkan kepakaran antaranya dalam bidang polisi dan perhubungan awam, pengurusan sumber air, pengurusan koridor sungai yang bersepadu, akademik, penerbitan serta pembentangan data saintifik berkaitan kemapanan alam sekitar.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, kerjasama itu adalah kolaboratif pintar di antara sektor awam dengan sektor swasta khasnya Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam aspek pembangunan lestari alam sekitar.

"Kerjasama menyeluruh merangkumi aspek penyelidikan, pembangunan dan inovasi; aspek hidrologi dan sumber air, program pengurusan sungai dan koridor sungai untuk kelestarian alam sekitar; aspek perundingan dan khidmat nasihat; aspek latihan dan kemahiran kepada staf MSU dan JPS; serta aspek penerbitan dan penulisan jurnal berimpak tinggi.

"Kerjasama ini juga akan membabitkan pelaksanaan pelbagai aktiviti khidmat komuniti bagi mencapai hasrat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)," katanya.

Beliau berkata, program pilot termasuklah pembinaan awal Sungai Damansara River Trail, satu projek yang melibatkan setiap fakulti di MSU memainkan peranan dan dipertanggungjawabkan untuk mewujudkan aktiviti-aktiviti apresiasi alam sekitar.

"Pada peringkat awal, kita sasarkan pembinaan denai sepanjang satu kilometer bermula dari sungai berhampiran kampus MSU dan bergerak ke hulu serta ke hilir sungai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 4:26 PM