X
Mohd Firdaus Ibrahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini memaklumkan, enam individu lagi disahkan positif Covid-19 daripada Kluster Sivagangga.

Menurutnya, satu daripada enam kes baharu itu (kes ke-9032) mempunyai kontak rapat kepada ahli keluarga beliau yang pernah mengunjungi kedai makan di Napoh.

"Individu ini mula mengalami gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos lalu sebelum disahkan positif Covid-19 pada 5 Ogos dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Kedah. Ahli keluarga berkenaan disaring untuk Covid-19 dan masih menunggu keputusan.

"Manakala, lima kes baharu selebihnya pula terdiri daripada satu (1) keluarga (iaitu kes ke-9033, 9034, 9035, 9036 dan 9037). Mereka mempunyai sejarah mengunjungi ke salah satu kawasan yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kedah.

"Mereka dimasukkan ke HSB untuk rawatan. Punca jangkitan dalam keluarga berkenaan masih di dalam siasatan," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Menurutnya, keenam-enam kes ini adalah kes generasi kedua dalam Kluster PUI Sivagangga.

"Saringan kontak rapat kes-kes positif ini dan Active Case Detection diteruskan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, hasil siasatan yang dijalankan ke atas kes ke-9023 dari Kulim (kes dilaporkan pada 5 Ogos), seramai 15 kontak rapat beliau dikenal pasti dan disaring.

"Punca jangkitan kes ini masih di dalam siasatan," katanya.

Katanya, sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 2,351 individu disaring dalam kluster ini.

"Daripada jumlah ini, 30 kes dikesan positif Covid-19, 1,617 negatif dan 704 masih menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 5:44 PM