Balqis Jazimah Zahari


SEORANG buruh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini selepas didapati bersalah kerana membunuh tiga beradik di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datuk pada hari pertama Ramadan, 17 Mei 2018.

Tertuduh, Shahrul Pitri Jusoh, 37, turut dihukum penjara selama 12 tahun bagi empat pertuduhan cubaan bunuh dan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya terhadap empat individu lain.

Hakim, Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap semua pertuduhan.

"Selepas meneliti keterangan dan hujahan kedua-dua pihak, keterangan saksi (doktor) mengesahkan tertuduh waras semasa melakukan kesalahan.

"Tertuduh mengetahui tentang perlakuan dan perbuatan yang dilakukannya ketika kejadian walaupun pembelaan mengatakan tiada niat membunuh tetapi keterangan saksi pembelaan sendiri sebaliknya," katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Shahrul Pitri didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Muhammad Faqih Zahirulhaq Mohd Fadzil, 5; Nur Zia Fasihah, 2, dan Muhammad Firash Zafrill.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di dalam rumah beralamat Rumah Projek Bantuan Bina Rumah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datuk antara jam 2.30 hingga 2.40 petang.

Bagi Seksyen 302 Kanun Keseksaan, ia memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Shahrul Pitri turut didakwa cuba melakukan bunuh dengan menggunakan parang yang boleh menyebabkan kematian terhadap Zuraidah Mat Ali, 37, di waktu dan masa yang sama.

Atas kesalahan itu, tertuduh dihukum mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan hukuman penjara yang boleh sampai 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan sekiranya kecederaan telah disebabkan atas mana-mana orang melalui perbuatan itu, pesalah juga boleh dipenjarakan untuk suatu tempoh yang boleh sampai 20 tahun.

Selain itu, Shahrul Pitri didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Nur Zuryn Faziera, 11 dan Nur Aina Umaira Subri, 12 dan Redhuan Embi, 34.

SEORANG pekerja buruh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh tiga beradik. FOTO Balqis Jazimah Zahari
SEORANG pekerja buruh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh tiga beradik. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Tertuduh melakukan kesalahan itu dua lokasi berasingan di Titi Pondok dan jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datuk antara jam 2.15 hingga 2.45 petang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Ainul Wardah Shahidan dan tertuduh diwakili peguam T Ellanggovan.

Ainul Wardah berkata, hukuman gantung sampai mati adalah wajar untuk kesalahan bunuh yang dilakukan.

"Mangsa kanak-kanak masih kecil dan tidak seharusnya tidak terbabit, tertuduh ada dendam dengan bapa mangsa.

"Kejadian berlaku pada hari pertama Ramadan dan hilang tiga anak sekelip mata, hukuman mati adalah wajar," katanya.

Terdahulu, dalam rayuan terhadap anak guamnya, peguam bela T Ellanggovan memohon mahkamah mengurangkan hukuman terhadap tertuduh memandangkan dia buruh yang menyara seorang ibu berusia 80 tahun.

"Tertuduh juga tidak pernah mempunyai rekod jenayah lampau melainkan hanya mempunyai tabiat menghisap dadah untuk diri sendiri dan dia tidak menyangka boleh mempengaruhi pemikirannya.

"Dia menyesal atas perbuatannya serta memohon maaf kepada semua pihak termasuk keluarga mangsa," katanya.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan, tiga kanak-kanak maut manakala empat parah selepas ditetak seorang lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Mohamad, Selekoh dekat Rungkup di sini 17 Mei dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 9:21 PM