X
CCTV tular di media sosial selepas penghantar makanan dipukul pelanggan. FOTO ihsan pembaca
CCTV tular di media sosial selepas penghantar makanan dipukul pelanggan. FOTO ihsan pembaca
Nur Izzati Mohamad


SEORANG penghantar makanan mengalami kesakitan selepas dia dipukul dan ditendang seorang lelaki dalam kejadian di sebuah rumah yang dijadikan inap desa dekat Alma, di Bukit Mertajam, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11.05 pagi itu, penghantar makanan berusia 34 tahun pergi menghantar pesanan pelanggan sebelum suspek berusia 33 tahun keluar lalu memarahinya dengan melemparkan kata-kata kesat dipercayai berunsurkan perkauman.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, suspek kemudian menendang badan dan menumbuk muka mangsa hingga mengalami kecederaan namun tidak serius.

"Mangsa yang ketakutan terus ke balai untuk membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati mangsa yang bekerja sebagai penghantar makanan sejak sebulan lalu mahu menghantar pizza yang dipesan suspek.

"Bagaimanapun, ketika tiba di kawasan kejadian, mangsa menghubungi suspek untuk pengesahan alamat kerana alamat yang diberikan di dalam aplikasi WhatsApp ada sedikit kekeliruan sebelum berjaya menemui rumah yang didiami suspek namun dia (suspek) keluar dan memarahinya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafee berkata, suspek kemudian menghulurkan wang RM50 untuk membayar pesanan yang dibuatnya namun mangsa lambat memulangkan baki wangnya hingga menyebabkan suspek mengambil semula wang itu dan menyerahkan semula makanan yang dipesannya kerana sudah tidak mahu membelinya.

"Mangsa memaklumkan kepada suspek bahawa dia akan melaporkan pembatalan makanan terbabit kepada pihak syarikatnya lalu suspek mengambil semula pesanannya dan melemparkan wang di atas lantai.

"Seterusnya, mangsa juga meletakkan wang baki di atas lantai sebelum beredar tetapi suspek meminta mangsa mengambil kembali wang itu tetapi mangsa tidak mahu dan disebabkan itu suspek memukul serta menendang mangsa.

"Suspek juga dikatakan mahu menjatuhkan motosikal yang ditunggang mangsa dan mangsa mempertahankan dirinya dengan memukul suspek dengan topi keledar sebelum pertelingkahan itu dileraikan pemilik rumah berkenaan," katanya.

Katanya, kejadian itu dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan kejadian dan ia tular di laman sosial Facebook.

Shafee berkata, suspek menyewa di inap desa berkenaan sejak lima bulan lalu dan semakan yang dibuat ke atasnya mendapati dia tiada rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 10:50 PM