X
PISTOL tiruan dan peluru yang dirampas. FOTO ihsan polis
PISTOL tiruan dan peluru yang dirampas. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


DUA wanita warga Thailand ditahan polis kerana memiliki dadah dan pistol tiruan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, di Kuala Lumpur, semalam.

Serbuan jam 6.45 petang itu dijalankan sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields selepas risikan dijalankan mengenai kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, wanita berusia 23 dan 36 tahun itu ditahan bersama dadah jenis methaphetamin, tiga pistol tiruan, tiga kelopak peluru dan satu kotak berisi peluru.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, suspek mendakwa pistol tiruan berkenaan adalah milik teman lelakinya yang dikenali sebagai Delvin yang kini sudah menghilangkan diri.

"Polis kini sedang giat mengumpul maklumat bagi mengesan Delvin. Ujian air kencing mendapati hanya seorang daripada suspek positif dadah dan kedua-duanya tiada rekod jenayah lampau.

"Mereka kini ditahan reman selama empat hari mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Delvin diminta tampil menyalurkannya kepada pihak polis di talian 03-22979222 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 11:06 PM