PENGUNJUNG perlu memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan fizikal apabila berada di Teluk Cempedak. FOTO Asrol Awang
PENGUNJUNG perlu memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan fizikal apabila berada di Teluk Cempedak. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


ORANG ramai khususnya warga daerah Kuantan menyambut baik keputusan untuk mengehadkan pengunjung pantai peranginan Teluk Cempedak kepada 1,000 orang dalam satu-satu masa, mulai hari ini.

Keputusan itu tepat pada masanya ketika negara ini masih lagi berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

Seorang pengunjung, Kamaruddin Alias, 45, dari Gambang berkata, dia amat mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) itu.

Menurutnya, dengan mengehadkan jumlah pengunjung, ia diharap dapat menyekat penularan wabak Covid-19 yang masih belum lagi berakhir setakat ini.

"Apabila orang terlalu ramai di kawasan tumpuan, ia mungkin boleh memberi ancaman penularan Covid-19 walaupun pengunjung memakai pelitup muka.

"Namun, kegagalan mematuhi dalam aspek penjarakan fizikal kerana berada terlalu rapat dalam kalangan pengunjung berkemungkinan wabak itu menular.

"Pada pendapat saya, keputusan mengehadkan pengunjung tepat pada masanya dan dapat membawa dalam menyekat penularan Covid-19," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Laila Rosaida Khamis, 28, dari Maran berkata, pemakaian pelitup muka dan mengutamakan penjarakan fizikal diharap diikuti semua pengunjung.

"Walaupun jumlah kemasukan pengunjung dihadkan kepada 1,000 orang tetapi mereka yang berada di Teluk Cempedak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK Norkamawati Kamal berkata, selain mengehadkan 1,000 pengunjung, pemilik kenderaan hanya dibenarkan parkir di Teluk Cempedak tidak melebihi tiga jam.

"Kerjasama orang ramai dialu-alukan dalam usaha menyekat penularan wabak Covid-19," katanya.

Bermula hari ini, hanya 1,000 pengunjung dibenarkan berada di pantai peranginan itu pada satu-satu masa.

Keputusan MPK dilihat sebagai langkah terbaik untuk memastikan pengunjung tidak bersesak-sesak dan berada terlalu lama di pantai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 8:09 PM