FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Essa Abu Yamin


CUACA panas terik dan keadaan permukaan jalan kurang baik di beberapa kawasan menjadi cabaran utama siri jelajah 'Kayuhan Solo Amal 2020 Mencari Hati Emas' yang dilakukan Jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu, Selangor Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa.

Mohd Fakhrul berkata, cabaran itu bagaimanapun tidak melunturkan semangatnya untuk meneruskan kayuhan yang bermula Khamis lalu.

"Pada awal misi, tayar basikal pecah pada waktu malam dan saya terpaksa menukarnya dalam keadaan gelap.

"Antara cabaran lain adalah keselamatan di jalan raya di Kuala Lumpur kerana perlu menempuh kesesakan dan pelbagai lagi.

"Alhamdulillah, kayuhan dari Kuala Kubu pada hari pertama dan hari ini (hari ketiga kayuhan) dari Jalan Kubu (Melaka) ke Batu Pahat, semuanya dipermudahkan. Tahap kesihatan saya juga baik," katanya dihubungi.

Menurutnya, tujuan dia melakukan misi kayuhan solo adalah untuk mencari dana bagi membantu anggota bomba yang terkorban atau terbabit kemalangan ketika bertugas.

"Sehingga hari ini, dana diperoleh amat memberangsangkan. Ia sumbangan anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang saya temui.

"Ia menjadikan saya lebih bersemangat untuk meneruskan misi ini," katanya.

Menurut Mohd Fakhrul, pada misi kayuhan itu, dia juga melakukan pengisian dengan melakukan kajian interprestasi anggota bomba di setiap BBP disinggahi terhadap fasiliti latihan modul yang diadakan di akademi.

"Borang akan diberikan kepada anggota bomba untuk diisi selain berkongsi pandangan serta maklum balas berkaitan kursus yang mereka sertai di mana-mana akademi bomba di seluruh Malaysia.

"Bagi kayuhan seterusnya, saya berdoa supaya tahap kesihatan terus baik seterusnya bertemu dengan rakan setugas untuk mengeratkan silaturahim selain mengumpul dana ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 9:04 PM