Surau Al-Jannah Seksyen 23, Shah Alam ditutup sementara sejak 7 Ogos lalu selepas terdapat ahli jemaahnya mempunyai kontak dengan individu yang disahkan positif Covid-19. Foto Mahzir Mat Isa
Surau Al-Jannah Seksyen 23, Shah Alam ditutup sementara sejak 7 Ogos lalu selepas terdapat ahli jemaahnya mempunyai kontak dengan individu yang disahkan positif Covid-19. Foto Mahzir Mat Isa
Nur Izzati Mohamad


TINDAKAN menutup semula masjid dan surau bagi sebarang aktiviti keagamaan di kawasan dilanda wabak Covid-19 adalah satu keperluan bergantung kepada nasihat serta syor daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya amat tegas terhadap prosedur operasi standard (SOP) khususnya berkaitan solat berjemaah.

Berikutan itu, katanya, setiap aktiviti keagamaan di masjid dan surau perlu dilaksanakan secara berhati-hati mengikut SOP ditetapkan.

"Kita amat tegas dan jelas mengenai SOP solat jemaah dan sekiranya wabak melanda di satu-satu kawasan, maka kerajaan negeri perlu mengambil tindakan menutup masjid dan surau atas nasihat daripada MKN serta KKM.

"Ini mengikut kepada maslahah semasa serta setempat dan perkara ini sudah dilakukan di kawasan terbabit Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran (TEMCO) di Kedah dan Perlis bagi mengekang penularan wabak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Guru Takmir Masjid dan Surau di Prai, Butterworth hari ini.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli menyeru semua masyarakat khususnya umat Islam mengunjungi masjid dan surau sekiranya terdapat guru takmir bagi mendapatkan ilmu pengetahuan, sekali gus menegakkan syiar Islam.

Beliau berkata, guru takmir berperanan menyebarkan ilmu berkaitan agama Islam dan masyarakat diharapkan tidak membiarkan masjid serta surau kosong, sebaliknya menghadiri kelas dianjurkan.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

"Kita sudah menyusun beberapa program untuk perbincangan dengan golongan transgender ini dan berharap dapat sama-sama menzahirkan keindahan serta kefahaman mengenai hal ehwal agama Islam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 4:10 PM