Anggota bomba memadam kebakaran bangunan Fort Renee di Saratok, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba memadam kebakaran bangunan Fort Renee di Saratok, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Mohd Roji Kawi


TINDAKAN pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan bangunan bersejarah, Fort Renee, Saratok daripada musnah dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi, kira-kira 20 peratus bangunan peninggalan penjajah Inggeris berusia 132 tahun itu terbakar membabitkan bilik mesyuarat pemimpin masyarakat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.32 pagi.

Beliau berkata, enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Saratok dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

"Setibanya dilokasi, kebakaran didapati membabitkan bangunan dua tingkat jenis kekal yang kini dijadikan sebagai Pusat Internet Saratok.

"Kebakaran itu membabitkan hanya 20 peratus daripada keseluruhan bangunan iaitu di bilik mesyuarat pemimpin masyarakat di tingkat bawah," katanya.

Beliau berkata, bomba berjaya mengawal kebakaran itu pada jam 10.50 pagi.

Fort Renee dibina oleh pemerintah Brooke pada 1888 dan pernah dijadikan sebagai Pejabat Daerah Saratok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 4:32 PM