Pelanggan didapati berkumpul di restoran tanpa mematuhi arahan PKPP di Kota Kinabalu. FOTO  JUWAN RIDUAN
Pelanggan didapati berkumpul di restoran tanpa mematuhi arahan PKPP di Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


SERAMAI 33 individu ditahan selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam operasi Op Cantas/Covid di sebuah restoran di Jalan Sinsuran, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 9.40 malam itu, sepasukan polis yang bertindak atas maklumat awam mendapati kumpulan individu terbabit berkumpul di restoran berkenaan tanpa mematuhi arahan PKPP.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, susulan itu, semua pekerja dan pelanggan ditahan membabitkan lima wanita dan 28 lelaki.

Katanya, pemeriksaan mendapati pemilik premis, pekerja dan pelanggan gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 7) Perkara 3.

"Mereka boleh dihukum mengikut Peraturan 11 peraturan yang sama di mana gagal mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

"Antara kesalahan adalah tidak menulis butir diri pada buku daftar, tidak menjaga penjarakan fizikal dan tidak menyediakan peralatan pembaca suhu badan dan cecair pembasmi kuman," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, mereka ditahan selepas didapati melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan kejangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

Katanya, tangkapan dan rampasan kemudian dibawa balik ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Habibi berkata, objektif utama pemeriksaan itu dijalankan adalah untuk memastikan PKPP dipatuhi sepenuhnya terutama pengusaha premis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 4:53 PM