Penuntut baharu diploma pelbagai jurusan di UniSZA mendaftar secara pandu lalu. FOTO IHSAN UNISZA
Penuntut baharu diploma pelbagai jurusan di UniSZA mendaftar secara pandu lalu. FOTO IHSAN UNISZA
Ahmad Rabiul Zulkifli


PROSES pendaftaran 1,723 penuntut baharu diploma pelbagai jurusan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus, hari ini dilakukan secara pandu lalu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam usaha mencegah penularan Covid-19.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pendaftaran itu bermula seawal 8 pagi dan puluhan kenderaan penuntut bersama keluarga yang sudah berdaftar berbaris menunggu giliran untuk menjalani proses pendaftaran dan pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata, sebaik utama dibuka pada 7.30 pagi, pemandu dan penumpang kenderaan akan diperiksa suhu badan oleh pengawal keselamatan sebelum dibenarkan terus ke kaunter semakan surat tawaran dan penyerahan kunci bilik di Dewan Perdana.

"Proses pendaftaran dijalankan kakitangan UniSZA dan turut dibantu pelajar Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) yang lengkap memakai pelitup muka serta sarung tangan bersesuaian dengan SOP ditetapkan bagi mencegah Covid-19.

"Penuntut selesai mendaftar akan terus ke kolej kediaman masing-masing dan keluarga tidak dibenarkan mengiringi penuntut ke bilik dan perlu menurunkan mereka di blok kediaman sahaja.

"Penuntut akan dibantu siswa bertugas di kolej kediaman untuk membawa barang mereka ke bilik masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 6:22 PM