X
WAKIL media yang menunggu ketibaan Guan Eng. FOTO Danial Saad
WAKIL media yang menunggu ketibaan Guan Eng. FOTO Danial Saad
Audrey Dermawan


PENGAMAL media mula berkumpul sejak 6.30 pagi untuk menunggu bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang dijangka dihadapkan di mahkamah di Butterworth, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Guan Eng akan didakwa di mahkamah di Pulau Pinang pada hari ini.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dijangka dituduh mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Prosiding kes itu dijangka selepas 11 pagi.

Dalam pada itu, DAP sebelum ini sudah meminta penyokong parti supaya tidak berhimpun di sekitar bangunan mahkamah.

Hanya pemimpin kanan dijangka tampil bagi menyatakan sokongan moral kepada Guan Eng.

Sementara itu, hanya empat wartawan dan enam jurugambar dibenarkan masuk ke bangunan mahkamah.

Pada 7 Ogos lalu, Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Lim, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur, pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi kes ini, mahkamah membenarkan beliau diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Berita berkaitan:

  • Guan Eng didakwa minta suapan 10 peratus [METROTV]
  • 'Saya akan lawan tuduhan rasuah' - Guan Eng
  • SPRM tahan isteri Guan Eng
  • Pemimpin DAP hadir sokong Guan Eng
  • Kes rasuah: Guan Eng didakwa esok
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 8:54 AM