SAIFUL Azmi. FOTO arkib NSTP
SAIFUL Azmi. FOTO arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial mengaitkan dirinya terbabit dengan rasuah bernilai RM500,000 bagi kelulusan projek pasir di Terengganu.

Saiful Azmi berkata, tindakan sewajarnya akan diambil selepas meneliti butiran dan berbincang dengan peguam untuk tindakan lanjut termasuk saman.

"Saya tidak tahu bagaimana boleh dikaitkan dengan isu berkenaan dan hanya mengetahui isu berkenaan daripada Facebook (FB).

"Saya akan tengok dulu dan ambil tindakan sewajarnya selepas perbincangan bersama pihak peguam.

"Mengenai perbualan di dalam 'screenshot' itu, saya tidak mengetahui. Saya tidak tahu apa tujuan tetapi dalam politik, ada yang tidak puas hati, yang cari salah, apa-apa pun tindakan selanjutnya akan diambil selepas meneliti isu ini," katanya ketika ditemui di luar dewan selepas Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-14 hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI), Nurul Islam Mohamed Yusoff yang dikaitkan sebagai pegawai kanan yang menjadi wakil kepada Adun Kemasik itu turut menafikan dakwaan berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Nurul Islam memaklumkan hanya mengetahui dakwaan itu selepas dimaklumkan beberapa rakannya.

"Saya ingin menafikan 'screenshot' itu dan bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa pada bila-bila masa sekiranya diperlukan," katanya menerusi WhatsApp.

Terdahulu, beberapa 'screenshot' yang didakwa perbualan melalui aplikasi WhatsApp antara pegawai kanan sebuah institusi milik kerajaan negeri dengan seorang individu yang dipercayai seorang kontraktor tular di media sosial.

Malah, perbualan itu turut dimuat naik dalam akaun FB, 'Anwar Ibrahim PM Rakyat'.

Dalam perbualan itu, pegawai kanan itu memperkenalkan diri sebagai wakil bagi pihak Adun Kemasik yang meminta imbuhan sebanyak RM500,000 sebagai syarat kelulusan projek pasir di Terengganu.

Pengguna media sosial turut memuat naik status di akaun FB, 'Anwar Ibrahim PM Rakyat 'mendakwa mempunyai bukti pemimpin PAS di Terengganu meminta wang imbuhan berjumlah RM500,000 bagi kelulusan projek pasir di Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 4:20 PM