MAYAT jurujual warga emas yang dipercayai dibunuh di Taman Kelisa Ria, Amanjaya, dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat. FOTO Ihsan pembaca
MAYAT jurujual warga emas yang dipercayai dibunuh di Taman Kelisa Ria, Amanjaya, dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat. FOTO Ihsan pembaca
Nor Farhani Che Ad

JURUJUAL wanita ditemukan mati dengan kesan kelar di leher dipercayai dibunuh di rumahnya di Taman Kelisa Ria, Amanjaya di Sungai Petani, hari ini.

Mangsa Kuek Choo Hong, 61, yang bekerja di sebuah pasar raya ditemui oleh anak saudara lelakinya dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah serta muka ditekup dengan bantal, pada 1 tengah hari.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal di rumah itu bersama suaminya berusia 62 tahun.

Menurutnya, mangsa bekerja di pasar raya berkenaan bersama kakaknya, tetapi dia didapati tidak hadir bertugas, semalam.

"Kakak wanita itu cuba menghubungi mangsa dan suami mangsa, tetapi gagal lalu pergi rumahnya bagi melihat keadaan adiknya kerana bimbang berlaku sesuatu.

"Sebaik tiba, mereka mendapati pintu rumah mangsa berkunci mangga dari luar, namun alat penghawa dingin dibuka.

"Mereka memanggil mangsa, tetapi tiada sahutan lalu bertindak memecahkan mangga pintu rumah sebelum anak saudaranya menemui mangsa di atas katil dalam salah sebuah bilik," katanya.

Menurutnya, siasatan awal polis juga mendapati terdapat kesan kelar sepanjang 12 sentimeter pada leher mangsa dan dianggarkan sudah meninggal dunia dalam tempoh 48 jam.

"Menurut jiran, kali terakhir mereka nampak suami mangsa keluar dari rumah itu pada malam 8 Ogos lalu dengan menaiki kereta Proton Iswara dan pasangan itu dikatakan sering bergaduh.

"Berikutan itu, polis mengesan suami mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 9:56 PM