GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


PENGANGGUR dijatuhkan hukuman penjara empat bulan penjara dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau hari ini, kerana menyembunyikan harta curi.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu ke atas R Shanmugam, 30 dari Senai, Johor selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyembunyikan harta curi iaitu sejumlah barang kemas dan wang tunai, pada 11.50 pagi, 31 Julai lalu di sebuah rumah di Bahau.

Justeru itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Khir Nizam turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan wang rampasan RM1,252 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia manakala barang kes yang dicamkan dikembalikan kepada pemilik asal, manakala barang kes tidak dicamkan ditadbir urus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 3:17 PM