GUAN Eng ketika meninggalkan perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, baru-baru ini. FOTO Asyraf Hamzah.
GUAN Eng ketika meninggalkan perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, baru-baru ini. FOTO Asyraf Hamzah.
Noor Atiqah Sulaiman


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menepis dakwaan pihaknya bersikap berat sebelah ketika menyiasat kes bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya menjalankan tugas seperti biasa, secara telus dan profesional.

"Kami tidak berat sebelah (pada) mana-mana pihak, kami jalankan tugas seperti biasa dan secara telus dan profesional," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program SPRM PUBG Mobile i-Challenge, di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan Guan Eng bahawa beliau perlu memakai baju reman SPRM, Azam berkata, ia bergantung kepada bawah budi bicara pegawai penyiasat kes.

"Mana-mana pegawai penyiasat (yang) gunakan baju lokap warna oren (kepada individu) adalah bawah budi bicara pegawai penjaga lokap dan pegawai penyiasat.

"Hal ini sudah saya ulang banyak kali, dia (pakai baju reman SPRM) terpulang kepada budi bicara berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Guan Eng beliau diminta memakai baju reman SPRM berwarna jingga berbanding bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika disiasat.

Pada 8 Ogos lalu, Guan Eng menerusi status Facebook menceritakan pengalamannya ditahan di dalam lokap SPRM, Putrajaya sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Guan Eng dilaporkan berkata, beliau perlu tidur di atas lantai papan dan menganggap dirinya tidak bernasib baik seperti Menteri Kewangan sebelumnya iaitu Najib ketika ditahan SPRM berhubung kes 1MDB dan SRC.

Beliau juga mendakwa dirinya terpaksa menukar pakaian baju jingga SPRM dan tidur di dalam bilik lokap yang sempit tanpa bantal atau tilam.

Guan Eng dalam statusnya turut mendakwa Najib tidak perlu bermalam walaupun sehari di dalam lokap.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 6:45 PM