NURUL Aina melukis atas kek ditempah pelanggan. FOTO ihsan Nurul Aina Abu Bakar
NURUL Aina melukis atas kek ditempah pelanggan. FOTO ihsan Nurul Aina Abu Bakar
Murnaena Muhammad Nasir


KEBIASAANNYA pekerja kedai kek hanya menulis ucapan istimewa di atas kek pesanan pelanggan namun lain pula dengan gadis ini yang menambah dekorasi dengan lukisan unik di atasnya secara percuma.

Bagi, Nurul Aina Abu Bakar, 23, niatnya hanya mahu menggembirakan pelanggan tanpa mengharapkan sebarang 'ganjaran' mahupun meminta 'tips'.

Kreativitinya mendapat perhatian ramai apabila rakannya, Wafa Norsyazana memuat naik dekorasi unik hasil sentuhan Nurul Aina di Twitter sehingga tular.

"Sebenarnya lebih 30 dekorasi kek sudah saya hasilkan sejak mula bekerja dua tahun lalu.

"Syukur ramai berikan reaksi positif selepas ia tular sehinggakan semua penat lelah saya bekerja 12 jam tidak terasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bukan itu sahaja, pihak pengurusan atasan turut memberikan penghargaan terhadap bakat hasil kerjanya.

Graduan Diploma Pengurusan Hotel dan Katering di kolej swasta itu berkata, minat yang mendalam terhadap seni lukisan sejak di bangku sekolah lagi menjadi sebab dia mengambil pendekatan itu.

"Saya akui melukis menggunakan krim mencabar, ia tidak sama dengan menggunakan warna air dan perlu fokus yang tinggi bagi menghasilkan potret, kartun atau abstrak.

"Bakat yang ada jika tidak dipraktikkan akan hilang dan kerana itu saya jadikan kek sebagai kanvas lukisan.

"Walaupun penghasilannya mengambil masa berjam-jam, namun hasilnya berbaloi," katanya.

Selain itu, anak sulung daripada tiga adik beradik itu bukan sahaja mahir dalam bidang seni lukisan dan dekorasi pastri malah mempunyai bakat menari.

"Pada mulanya saya jadikan menari sebagai hobi dan pada tahun 2017 ada rezeki saya menjadi jurulatih zumba sambilan di Shah Alam, Selangor.

"Jika ada program atau kelas zumba saya akan mengambil cuti. Kini, saya berhenti seketika dan fokus bekerja di kedai kerana aktiviti itu tidak dibenarkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Antara dekorasi kek yang mencuri perhatian warganet ialah lukisan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersempena ulang tahun keputeraan ke-60 baru-baru ini, petugas barisan hadapan, kumpulan Bocey dan Hari Raya Aidiladha.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 7:14 PM