AZAM. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AZAM. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Noor Atiqah Sulaiman

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah (SPRM) akui pihaknya ada menerima aduan mengenai aktiviti haram dilindungi oleh penguatkuasa di seluruh negara.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya berdepan kekangan untuk mendapatkan saksi yang sudi tampil bagi membantu siasatan.

"Saya boleh katakan perkara itu berleluasa di seluruh negara dan melalui risikan perkara itu memang berlaku. Saya tak nafikan kami terima maklumat seluruh negara berhubung kegiatan perjudian, rumah urut (tidak berlesen) yang dilindungi oleh penguatkuasa.

"Namun demikian, semua maklum ketika kita nak siasat kes rasuah, kita perlukan bukti dan sokongan keterangan saksi.

"Kalau nak cari individu untuk dedahkan satu perkara dan jadi saksi ia adalah amat sukar sekali.

" Saya memang puji kalau ada individu seumpama ini datang beri maklumat dan sanggup bekerjasama," katanya selepas melancarkan Program SPRM PUBG Mobile i-Challenge di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya, semalam.

Ketika ditanya adakah isu itu akan menjadi keutamaan pihaknya selepas ini, Azam berkata perkara itu tidak boleh dilakukan dalam masa terdekat kerana ia memerlukan penelitian.

"SPRM bekerjasama dengan polis bagi mengenal pasti kawasan terbabit, yang mana di bawah bidang kuasa polis kita akan serahkan untuk tindakan selanjutnya.

"Kerana bidang kuasa SPRM hanyalah berhubung isu rasuah sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 7:47 PM