Zuliaty Zulkiffli


SEORANG lelaki memberi alasan terpaksa menumpangkan rakan wanitanya tinggal di rumah kerana kasihan melihat wanita itu berulang jauh dari dari tempat kerjanya di Alor Setar ke rumahnya di Pokok Sena.

Bagaimanapun alasan itu tidak diterima apabila mereka dicekup berkhalwat dalam pemeriksaan yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) di sebuah rumah di Simpang Kuala, di Alor Setar, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pasangan itu dicekup jam 1.30 pagi tadi berdasarkan maklumat yang diterima berhubung kegiatan maksiat di situ.

Beliau berkata, selepas diperiksa, terdapat seorang wanita berada dalam rumah lelaki itu dan mengaku hanya kawan.

"Lelaki berusia 20 tahun seorang mualaf dan bekerja di sebuah kedai menjual motosikal, manakala wanita sebayanya itu bekerja di sebuah restoran makanan segera di bandar raya ini.

"Hasil siasatan mendapati mereka gagal menunjukkan sebarang hubungan mahram atau suami isteri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Radzi berkata, kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.

Beliau berkata, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 9:16 AM