Che Abdullah Mat Nawi.
Che Abdullah Mat Nawi.
Hayati Ibrahim


MALAYSIA bersedia berkongsi pengalaman dan inisiatif yang dijalankan kerajaan dengan negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bagi merancakkan semula aktiviti pertanian, pengeluaran makanan dan memulihkan ekonomi petani kecil.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, semua usaha itu dilaksanakan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara Prihatin (Penjana).

Beliau berkata, pasca pandemik Covid-19 menjadi satu cabaran kepada isu keselamatan makanan khususnya rantaian makanan dalam kalangan ekonomi APEC.

Katanya, terdapat beberapa kekangan seperti logistik, penutupan pelabuhan dan sempadan serta sekatan eksport sementara di sesetengah ekonomi menyebabkan gangguan bekalan makanan.

"Selain itu, perintah 'lock down' atau sekatan perjalanan yang dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak juga memberi impak kepada petani kecil disebabkan gangguan perkhidmatan logistik dan akses pasaran yang terhad.

"Malaysia sebagai tuan rumah APEC 2020 bersama 20 ekonomi lain masih meneruskan komitmen di peringkat serantau melalui pernyataan menteri-menteri bertanggungjawab bagi perdagangan APEC yang dikeluarkan pada 5 Mei lalu bagi memudahkan aliran barangan dan perkhidmatan penting untuk memerangi pandemik Covid-19 termasuk ubat-ubatan, bekalan dan peralatan perubatan, pertanian dan produk makanan serta bekalan lain merentasi sempadan.

"Selain itu, mengurangkan gangguan kepada rantaian bekalan global bagi menggalakkan perdagangan antara ekonomi APEC seperti yang disarankan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO)," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) yang ingin mengetahui langkah strategik dan peranan diambil kementerian untuk memastikan kejayaan Pelan Tindakan Keselamatan Makanan APEC.

Che Abdullah berkata, komitmen itu diperkukuhkan lagi menerusi persidangan maya menteri-menteri bertanggungjawab bagi perdagangan yang dipengerusikan Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang disertai Menteri Perdagangan 20 ekonomi APEC lain pada 20 Julai lalu.

Che Abdullah berkata, kerjasama dan peranan aktif daripada sektor swasta melalui Majlis Penasihat Perniagaan APEC juga turut diberi perhatian bagi memastikan pemulihan ekonomi selepas Covid-19 yang lebih mampan dan membawa penyelesaian serantau jangka panjang.

Sementara itu, beliau berkata, kajian semula Pelan Tindakan Keselamatan Makanan APEC adalah satu keberhasilan dan komitmen Malaysia dalam menerajui agenda keselamatan makanan dan pembangunan mampan di rantau Asia Pasifik.

"Kajian ini akan menilai pencapaian ekonomi APEC berdasarkan matlamat seperti digariskan dalam pelan tindakan merangkumi pembangunan lestari sektor pertanian dan perikanan, fasilitasi pelaburan dan pembangunan infrastruktur serta pembangunan perdagangan dan pasaran.

"Ia juga akan meneliti cabaran dan impak Covid-19 terhadap keselamatan makanan dalam kalangan ekonomi APEC," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian akan memastikan bekalan makanan negara adalah berterusan, bersedia pada harga berpatutan dan selamat bagi rakyat.

"Segala gangguan bekalan makanan dari negara luar akan ditangani segera melalui hubungan perdagangan yang baik di peringkat serantau dan setakat ini kita tiada masalah dengan gangguan bekalan makanan ketika pandemik Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 2:20 PM