MOTAC dalam usaha merancakkan kembali industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. FOTO Arkib NSTP
MOTAC dalam usaha merancakkan kembali industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. FOTO Arkib NSTP
Rosyahaida Abdullah

PROMOSI pelancongan domestik akan terus dipergiat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam usaha merancakkan kembali industri itu yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sepanjang kira-kira lima minggu lalu, kebanyakan hotel di negara ini mula mencatatkan kadar penginapan yang tinggi.

Walau bagaimanapun katanya, jumlah itu kebanyakannya terdiri daripada hotel di kawasan tumpuan pelancong seperti pantai dan seumpamanya.

"Daripada segi purata keseluruhan, kadar penginapan ini memang masih belum cukup tinggi disebabkan ia turut membabitkan hotel bajet di mana hotel begini khususnya di kawasan bandar tidak begitu dikunjungi.

"Disebabkan itu, kita memberi tumpuan kepada memperkasa promosi pelancongan domestik dan mengetengahkan apa sahaja keunikan yang ada di setiap tempat baik bandar atau luar bandar untuk dihebahkan kepada orang ramai.

"Insya-Allah, Motac akan berada di Pulau Langkawi (Kedah) pada minggu ini untuk tujuan promosi bukan saja bagi tempat yang sudah dikenali malah kita akan meneroka kawasan lain yang mungkin tidak begitu popular sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Seni Maya Malaysia berjudul 'Gerak Angin' di Studio Ramli Hassan di Kuala Lumpur, hari ini.

Nancy berkata, walaupun sebelum ini wujud rancangan mengenai 'travel bubbles' iaitu kelonggaran sekatan sempadan antara negara jiran yang mencatatkan kes Covid-19 lebih rendah, tumpuan semasa diberikan kepada domestik.

"Itu persediaan kita sekiranya negara buka (travel bubbles) jadi kita dapat hidupkan semula industri untuk ASEAN dan antarabangsa tetapi buat masa ini kita beri tumpuan kepada dalam negara," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai festival berkenaan, Nancy berkata, sebanyak 17 persembahan meliputi muzik, tarian dan teater akan disiarkan setiap hari bermula 16 September ini selama 17 hari berturut-turut di platform video Youtube.

"Saya kira ini adalah Festival Seni Maya Malaysia yang pertama seumpamanya disiarkan khusus bagi meraikan kebudayaan dan warisan Malaysia sempena Hari Malaysia nanti.

"Gerak Angin juga sebahagian penerima peruntukan berjumlah hampir RM1 juta oleh Motac dalam usaha menyokong badan bukan kerajaan (NGO) merancakkan kembali program seni dan budaya sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula.

"Saya menyeru semua pihak menyokong festival ini dan berharap sekurang-kurangnya 60 peratus pulangan yang diperoleh nanti akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Kebudayaan dan Kebajikan Penggiat Seni sebagai memastikan kelangsungan dan sokongan berterusan terhadap penggiat seni di negara ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 5:38 PM