Balqis Jazimah Zahari


JENAZAH tujuh sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 5 Jalan Keramat Pulai dekat Ipoh dihantar dengan menaiki enam van jenazah ke kampung halaman mereka di Kedah.

Konvoi kenderaan yang membawa kesemua jenazah mangsa keluar daripada perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada 4.20 petang.

Pada masa sama, suasana suram menyelubungi perkarangan Jabatan Forensik yang dipenuhi oleh saudara-mara dan waris mangsa yang menunggu sejak pagi tadi.

Terdahulu, jenazah yang menjalani bedah siasat sejak 9 pagi selesai dimandi dan dikafan serta disembahyangkan sebelum dijangka akan dikebumikan di Kampung Badlishah, Serdang, Kedah.

Sebelum ini, portal Harian Metro melaporkan kemalangan berlaku membabitkan Perodua Alza dan treler pada 5.30 petang semalam.

Kemalangan mengakibatkan mangsa, Mohd Zairul Mat Isa, 34, dan isterinya, Nuratiqah Abd Hamid, 30, sementara satu lagi pasangan ialah Zulkifli Shuib, 41, dan isteri, Hasliza Mahmud, 40, maut di lokasi.

Turut maut ialah ibu serta anak perempuan kepada Mohd Zairul iaitu Fatimah Mat Isa, 68, serta Nur Qaseh Damia, 4, dan anak kandung kepada Hasliza, Mohd Alif Firdaus, 3.

Manakala, dua mangsa yang parah ialah anak kandung kepada Hasliza iaitu Firash Mikhael Azrie Shah, 11, serta remaja lelaki yang setakat ini hanya dikenali sebagai 'Apit', 16.

Sementara, seorang lagi mangsa iaitu anak kepada pasangan Mohd Zairul iaitu Muhammad Haziq Zikri, 9, yang dirawat di Zon Kuning.

Siasatan awal mendapati semua mangsa yang menaiki Perodua Alza dipandu Mohd Zairul dalam perjalanan dari Cameron Highlands menghala Simpang Pulai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri.

JENAZAH tujuh sekeluarga yang terkorban dihantar dengan menaiki enam van jenazah ke halaman Kampung Badlishah, Serdang, Kedah. FOTO Balqis Jazimah Zahari
JENAZAH tujuh sekeluarga yang terkorban dihantar dengan menaiki enam van jenazah ke halaman Kampung Badlishah, Serdang, Kedah. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Berita berkaitan

'Tok Tam teringin sangat ke Cameron Highlands'

'Kiranya Haziq seorang sajalah yang hidup?'

'Percutian tragis dua keluarga'

'Perodua Alza masuk laluan bertentangan sebelum terbalik'

'7 maut MPV bertembung lori'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 5:41 PM