Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar ketika sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar ketika sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. FOTO ASYRAF HAMZAH
Hayati Ibrahim


PERSIDANGAN Dewan Rakyat, lewat petang hari ini hangat apabila Tan Sri Noh Omar (BN- Tanjong Karang) dilihat naik angin apabila Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mempersoalkan kenyataan beliau berhubung perobohan gerai peniaga kecil di Sungai Buloh, Selangor.

Noh ketika membahaskan usul berhubung butiran program pembasmian kemiskinan bandar berkata, tindakan kerajaan Selangor merobohkan gerai peniaga kecil akan merencatkan program pembasmian kemiskinan bandar yang dilaksanakan kerajaan pusat.

"Kerajaan pusat cukup prihatin membantu masalah peniaga kecil, apabila wabak Covid-19 melanda kerajaan diperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk membantu peniaga kecil.

"Malangnya, usaha yang dilakukan kerajaan pusat tidak disambut baik kerajaan negeri terutama kerajaan Selangor," katanya.

Noh berkata, beliau turun padang ke Bandar Baru Sungai Buloh, tengah hari, hari ini untuk melihat kerja-kerja meroboh gerai peniaga kecil yang sudah berniaga antara 20 hingga 25 tahun lalu.

Menurutnya, beliau dimaklumkan 20 lagi gerai akan dirobohkan esok, manakala 15 sudah dirobohkan, semalam.

"Masalahnya kenapa tindakan meroboh (gerai) ini diambil dalam keadaan peniaga baru nak bernyawa.

"Saya nak tanya adakah ia dilakukan kerana tindak balas daripada pendedahan daripada seorang individu iaitu Mohd Asri Hamid (Pengasas Hot Burger Malaysia) melalui rakaman video mengenai kewujudan kegiatan judi haram dan rokok seludup di Sungai Buloh," katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2019) 2020 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika itu, Ngeh bangun untuk mencelah dan bertanya Noh merujuk kepada butiran perbelanjaan mana?

Bagaimanapun, belum sempat Ngeh menghabis pertanyaan, Noh bangun untuk menjawab.

Noh: Tak apa Tuan Speaker, biar saya jawab ni. Yang Berhormat (YB) pekak dan tidak dengar. Saya kata tadi kemiskinan bandar, perumahan dan perniagaan, YB ni pekak ke tak faham ke peraturan?

Ngeh: Tetapi itu insiden spesifik tadi.

Tindakan itu menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menutup mikrofon kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan.

Beliau kemudian mengarahkan mereka supaya duduk, namun Noh terus meluahkan kemarahan dengan memaklumkan beliau bercakap mengenai membasmi kemiskinan bandar dan Sungai Buloh masih dalam bandar.

Azhar kemudian sekali lagi menutup mikrofon bagi mengelakkan perdebatan antara kedua-duanya berlanjutan sambil menenangkan mereka.

Azhar: Saya faham YB, saya faham. Sila duduk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 8:17 PM