LUKISAN istimewa pada pelitup muka oleh Muhammad Darwisy sebagai tanda penghargaan kepada Dr Noor Hisham atas usaha menangani pandemik Covid-19.
LUKISAN istimewa pada pelitup muka oleh Muhammad Darwisy sebagai tanda penghargaan kepada Dr Noor Hisham atas usaha menangani pandemik Covid-19.
Murnaena Muhammad Nasir

DALAM sekotak pelitup muka sering kita jumpa satu atau dua daripadanya tidak dapat digunakan kerana tali putus dan tindakan spontan adalah buang atau biarkannya tidak diguna.

Lain pula dilakukan seorang anak muda berbakat dalam seni lukisan apabila dia menjadikannya pelitup muka berkenaan suatu yang istimewa dengan melukis potret Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Muhammad Darwisy Mustafani, 19, berkata, lukisan istimewa itu sebagai tanda penghargaan kepada beliau atas usaha menangani wabak pandemik Covid-19.

"Saya tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan kepada wira negara kita, jadi saya terjemahkan melalui lukisan.

"Lukisan itu juga saya hasilkan supaya masyarakat mempunyai kesedaran memakai pelitup muka di tempat awam dan kawasan sesak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Seni Bina di universiti awam itu tidak menyangka usaha kecilnya itu mendapat perhatian warganet di Twitter.

"Alhamdulillah, sejak saya muat naik hasil lukisan atas pelitup muka itu di Twitter, ramai yang buat permintaan lukisan daripada hasil tangan saya.

"Antaranya, syarikat radio terkenal meminta saya menghasilkan logo dan potret penyampainya di atas pelitup muka. Malah, ada juga yang meminta saya melukis di bagasi mereka," katanya.

Anak kelima daripada lapan beradik itu berkata, minatnya melukis bermula sejak di bangku sekolah lagi.

"Saya lebih suka seni yang berunsurkan ketelitian dan meminati hasil lukisan terperinci terutama bentuk geometri objek seperti bangunan, mesin dan alam sekitar.

"Sebenarnya, dari dulu lagi saya suka hasilkan lukisan pada permukaan kayu atau baju dan bukannya hanya pada atas kertas," katanya.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berkata, walaupun masih belajar dia menjadikan bakatnya itu sebagai sumber rezeki.

"Sejak 2019 sudah hampir 20 lukisan saiz A4 dan A3 saya terjual yang berharga RM75 hingga RM100.

"Harapan saya dapat kembangkan lagi bakat yang ada dan menjadi inspirasi kepada masyarakat yang ingin berjinak-jinak dengan dunia seni," katanya.

Antara pencapaian tertinggi Muhammad Darwisy ialah karyanya dipamerkan di KLCC pada tahun 2018.

Selain itu, satu daripada karyanya juga dihadiahkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui pengantara Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 8:22 PM